KERTAS dasar mengenai dasar gaji progresif akan dibentang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Ogos depan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata dasar itu, yang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi dengan Kementerian Sumber Manusia, bertujuan memastikan pertumbuhan gaji rakyat lebih sekata serta inklusif dan mendorong ke arah penjanaan pendapatan lebih baik.
“Ada satu aspek penting iaitu walaupun kerajaan tumpu 100% soal harga barang, tanpa usaha dan inisiatif untuk naikkan gaji rakyat secara setimpal maka masyarakat akan terus bergelumang dengan persoalan kos sara hidup,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Rafizi berkata, fokus kepada pertumbuhan gaji rakyat akan menjadi keutamaan dalam perancangan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia akan datang selain membantu menangani kos sara hidup rakyat.
Sementara itu dalam usaha memastikan kelangsungan bekalan makanan, beliau berkata Kementerian Ekonomi melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kini dalam proses pelaksanaan projek pertanian dan pemakanan di tanah milik kerajaan di seluruh negara dengan jumlah keluasan keseluruhan 404.7 hektar.
Tanpa memperinci kos keseluruhan projek di bawah Inisiatif Usahawan Tani (Intan) itu, Rafizi berkata usaha itu secara tidak langsung akan dapat membantu golongan B40 untuk terbabit dalam pertanian.
Beliau berkata, selain penyediaan tanah di bawah model Intan, kerajaan juga akan membantu dalam menyediakan infrastruktur pembinaan contohnya rumah hijau dan pembersihan tanah.
“Ia dijangka memanfaatkan 4,000 penerima dengan nisbah suku ekar atau setengah ekar bagi setiap orang,” katanya. – Bernama, 28 Jun, 2023.
Komen