Dr Mahathir dakwa Anwar ikut telunjuk DAP


Ravin Palanisamy

Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju dengan DAP dalam banyak perkara kerana bimbang hilang kuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun 2023.

DR Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim sanggup berkompromi dengan DAP tentang hak orang Melayu kerana bimbang hilang kuasa.

DAP mempunyai bilangan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat berbanding parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH), justeru Anwar perlu sentiasa bersetuju dengan parti itu bagi mengelakkan hilang sokongan, kata bekas perdana menteri itu.

“DAP mempunyai 40 ahli Dewan Rakyat, PKR tiada, Amanah pun tiada (lebih daripada jumlah itu). Yang paling kuat dalam Pakatan Harapan ialah DAP.

“Kalau tak ikut DAP, kalau DAP tarik diri maka jatuhlah kerajaan. Jadi Anwar mesti ikut (cakap) DAP,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Sepang hari ini.

Anwar juga katanya bersetuju dengan DAP dalam banyak perkara.

“Kita tengok macam-macam yang dia bersetuju sehingga ada sekali dia kata orang Melayu jangan ingat mereka sahaja yang memiliki negara ini, dan ada bangsa lain yang juga berhak,” kata bekas ahli Parlimen Langkawi itu.

PH yang terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP menjalinkan kerjasama dengan seteru lama mereka Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, yang juga pengerusi PH. – 28 Jun 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen