PRESIDEN Sierra Leone Julius Maada Bio dipilih semula memegang jawatan itu untuk penggal kedua ketika negara itu dihimpit isu lonjakan pengangguran dan inflasi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bio menerima 56.1% undi untuk menewaskan pencabar utamanya Samura Kamara yang memperoleh 41.1%, umum suruhanjaya pilihan raya pada Selasa.
Parti Rakyat Sierra Leone (SLPP) diwakili Bio dan Kongres Rakyat (APC) diwakili Kamara mendominasi negara kecil Afrika Barat itu selama beberapa dekad.
Seramai 13 calon bertanding pada pemilihan yang diadakan pada Sabtu. Bio juga mengatasi Kamara pada 2018.
Bio, yang memerintah selama dua bulan selepas rampasan kuasa tentera pada 1996 dan membantu peralihan Sierra Leone kepada sistem pilihan raya bebas pertama dalam beberapa dekad, dihormati rakyat sebagai “bapa demokrasi moden” negara itu.
Kerajaannya yang berkuasa sejak 2018 memperkenalkan persekolahan percuma, menggalakkan kesaksamaan dan menerajui inisiatif sains dan infrastruktur.
Bagaimanapun, Bio dikritik atas layanannya terhadap parti pembangkang. Pada Ogos, lebih 20 penunjuk perasaan antikerajaan dan enam pegawai polis terbunuh dalam pertempuran. – Bernama, 28 Jun 2023.
Komen