KESATUAN Eropah (EU) meningkatkan perlindungan pekerja daripada asbestos dengan mengurangkan secara signifikan had bahan binaan gentian yang boleh terdedah kepada mereka, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Parlimen Eropah dan negara anggota EU mengumumkan perjanjian sementara pada Selasa yang akan mengurangkan had maksimum pendedahan sebanyak 10 kali ganda.
Oleh kerana tiada tahap pendedahan asbestos yang selamat, terdapat juga senarai langkah pencegahan untuk mengelakkan sentuhan daripada bahan itu pada masa hadapan contohnya melalui perlindungan pernafasan yang sesuai, latihan dan pembersihan yang betul.
Syarikat yang berhasrat melaksanakan perobohan atau penyingkiran asbestos akan memerlukan permit daripada pihak berkuasa.
Menurut Suruhanjaya Eropah, kira-kira 70,000 orang meninggal dunia di EU pada 2019 akibat sentuhan asbestos di tempat kerja mereka.
Selepas pelan itu diluluskan secara rasmi oleh Parlimen Eropah dan negara-negara EU, negara-negara EU mempunyai dua tahun untuk memperkenalkan had baharu itu.
Selepas tempoh peralihan enam tahun, peraturan baharu juga akan berkuat kuasa yang memerlukan kaedah yang lebih baik untuk mengukur kepekatan asbestos di tempat kerja.
Semua penggunaan asbestos diharamkan di EU sejak 2005. Bagaimanapun, banyak produk asbestos tahan lama seperti penutup lantai dan panel bumbung masih boleh ditemukan di dalam bangunan. – Bernama, 28 Jun, 2023.
Komen