MUDA tidak membuat keputusan yang tergesa-gesa berhubung tindakannya tidak bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Perdana Menteri Anwar Ibrahim seperti didakwa veteran DAP Lim Kit Siang.
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata usaha untuk menghubungi Anwar dan pemimpin kanan lain untuk mengadakan pertemuan tidak berjaya.
Beliau berkata Setiausaha Agung Pakatan Harapan Saifuddin Nasution Ismail tidak menjawab tiga surat dihantar Muda meminta untuk mengadakan mesyuarat.
“Bukan saja kami dibiarkan tergantung, malah diperlekehkan apabila setiausaha agung PH memberi respons beliau tiada masa untuk membaca surat kami.
“Padahal pejabatnya pada mulanya bersetuju untuk berjumpa tetapi kemudian membatalkannya sekali lagi pada saat-saat akhir,” katanya dalam satu kenyataan surat terbuka kepada Lim disiarkan di Facebook.
Menerusi kenyataan itu, Syed Saddiq mengulas kenyataan Lim yang berkata Muda tidak sepatutnya tergesa-gesa dan bekerjasama dengan kerajaan perpaduan menjelang enam pilihan raya negeri bagi memastikan usaha reformasi dapat diteruskan.
Pada Isnin, Syed Saddiq berkata Muda akan bertanding pada PRN akan datang menggunakan lambangnya sendiri.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua pandangan berkenaan bekerjasama dengan PH.
“Muda sudah mengadakan perbincangan berkenaan enam PRN. Muda membuat keputusan ini berdasarkan kepada kata sepakat untuk bertanding sendiri,” kata Syed Saddiq pada sidang akhbar mengumumkan keputusan itu.
Syed Saddiq berkata mereka bukan meminta jawatan GLC yang lumayan seperti kebanyakan yang lain dalam kerajaan hari ini.
“Kami bukan meminta kontrak. Kami hanya mahukan satu mesyuarat supaya kami boleh mencadangkan jalan bergerak ke hadapan untuk membina Malaysia yang benar-benar berbilang kaum, agama, sederhana dan berpaksikan reformasi.
“Anda mahukan pembaharuan, Tan Sri? Muda juga mahukannya,” kata Syed Saddiq. – 28 Jun, 2023.
Komen