Tuntutan Sulu: Kemenangan cukup bermakna, kata Zahid


Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam kes tuntutan Sulu sehingga kerajaan berjaya mempertahankan hak serta kedaulatan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2023.

KEMENANGAN di mahkamah antarabangsa dalam kes tuntutan kumpulan Sulu terhadap Malaysia menjadi kejayaan cukup bermakna dan penting untuk negara, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi catatan di Facebook beliau hari ini, Zahid turut mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat sehingga kerajaan berjaya mempertahankan hak serta kedaulatan negara.

“Tahniah kepada pasukan Malaysia diketuai pengerusinya (Pengerusi Sekretariat Khas yang juga Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said yang bertungkus-lumus memastikan kedaulatan Malaysia terus terpelihara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu.

Award itu diberikan oleh penimbang tara antarabangsa Dr Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022 kepada lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award itu, kumpulan Sulu terbabit dilaporkan cuba menyita aset Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian daripada kedutaannya di negara itu).

Sebelum itu, pada 6 Jun lepas, Malaysia melakar sejarah selepas Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh Stampa dan memutuskan Stampa terkhilaf dalam melaksanakan bidang kuasanya. – Bernama, 28 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen