DUN Kedah secara rasmi bubar hari ini


Selepas PRU14 PH mengambil alih kerajaan negeri dengan kemenangan 18 daripada 36 kerusi, persidangan pertama DUN Kedah bagi penggal ke-14 berlangsung pada 3 Julai, 2018. – Gambar Flickr, 28 Jun, 2023.

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini selaras dengan perkenan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Ahad lepas.

Pembubaran itu sekali gus menamatkan pentadbiran tiga tahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) pada 17 Mei, 2020.

Susulan pembubaran itu, bermula hari ini pentadbiran kerajaan negeri Kedah akan dijalankan oleh kerajaan interim ataupun “Caretaker Government”, dengan segala fungsi kerajaan akan berlangsung sebagaimana biasa sehingga kerajaan negeri yang baharu dibentuk selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, 2018 yang menyaksikan PH mengambil alih kerajaan negeri dengan kemenangan 18 daripada 36 kerusi, persidangan pertama DUN Kedah bagi penggal ke-14 berlangsung pada 3 Julai, 2018.

Pembubaran DUN Kedah hari ini menyaksikan mandat lima tahun berakhir enam hari lebih awal berbanding tarikh akhir pada 4 Julai.

Kedah antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Negeri ini mempunyai 36 kerusi dengan kedudukan terkini DUN Kedah menyaksikan PN memiliki 20 kerusi (PAS-14, Bersatu-6); PH menguasai 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2); Barisan Nasional memperoleh dua kerusi (Umno-2) dan Parti Pejuang Tanah Air (2).

Dua lagi kerusi kosong apabila Adun Gurun daripada PKR Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lepas dan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala Adun Belantek Mohd Isa Shafie meninggal dunia 14 Jun lepas. – Bernama, 28 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen