8 anggota tentera Mexico ditahan bersabit kehilangan 43 pelajar pada 2014


Pada Ogos tahun lepas, satu suruhanjaya mengklasifikasikan penculikan 2014 sebagai jenayah negara berikutan dakwaan penglibatan pihak berkuasa dan pasukan keselamatan. – Gambar EPA, 28 Jun 2023.

POLIS Mexico menahan sekumpulan anggota tentera yang disyaki terlibat dalam kehilangan 43 pelajar hampir sedekad lalu, lapor agensi berita (dpa) Jerman.

Dalam hantarannya di Twitter pada Isnin, Alejandro Encinas, setiausaha negara bagi hak asasi manusia di Kementerian Dalam Negeri, berkata lapan anggota tentera ditahan.

Empat lagi anggota tentera ditahan praperbicaraan, termasuk seorang komander yang didakwa mengarahkan pembunuhan enam pelajar berkenaan.

Mereka didakwa bekerjasama dengan polis korup menculik 43 pelajar lelaki dari maktab perguruan luar bandar di Ayotzinapa pada September 2014.

Pelajar terbabit didakwa diserahkan kepada sindiket jenayah Guerreros Unidos atas sebab yang tidak diketahui.

Serpihan tulang tiga pelajar ditemukan dan dikenal pasti setakat ini.

Pada Ogos tahun lepas, sebuah suruhanjaya mengklasifikasikan penculikan itu sebagai jenayah negara berikutan dakwaan penglibatan pihak berkuasa dan pasukan keselamatan. – Bernama, 28 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen