Polis panggil Ustaz Zainul Asri, tidak direman, kata Saifuddin


Wakil Pakatan Harapan membuat laporan polis terhadap penceramah bebas Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli semalam, berhubung ucapannya yang didakwa berbaur hasutan dalam program Himpunan Kedah Berselawat pada Sabtu lepas. – Gambar Facebook, 27 Jun 2023.

POLIS telah membuka kertas siasatan terhadap bekas timbalan ketua Dewan Ulama PAS Kedah Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli berhubung ucapannya yang didakwa berbaur hasutan dalam program Himpunan Kedah Berselawat pada Sabtu lepas.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan perkara itu hari ini berkata Syeikh Muhd Zainul Asri telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan, namun beliau tidak direman.

“Dalam pertemuan pertama (dengan polis) itu, dia telah mengakui kesilapannya dan berkata terlalu teruja apabila mendapat sambutan dalam perhimpunan tersebut.

“Namun saya dimaklumkan siasatan diteruskan sebab ada aduan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kelapan di Putrajaya hari ini.

Satu laporan polis telah dibuat oleh wakil Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur terhadap penceramah bebas berkenaan berhubung perkara itu, semalam.

Hari ini, Syeikh Muhd Zainul Asri atau lebih dikenali Ustaz Zainul Asri telah membuat permohonan maaf berhubung ucapannya yang disiarkan menerusi laman Facebook beliau. – Bernama, 27 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen