Mahkamah batal kemenangan PAS di Kuala Terengganu


Diyana Ibrahim

Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam PRU15 lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun 2023.

MAHKAMAH Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lalu.

Hakim Firruz Jaffriz membacakan keputusan memihak kepada pempetisyen, Mohd Zubir Embong dari Umno yang memfailkan permohonan itu 3 Januari lalu.

Mohd Zubir memohon kemenangan Ahmad Amzad dibatalkan kerana ada “bukti jelas” daripada saksi yang mendakwa menerima wang daripada PAS yang memancing undi.

Firruz dalam penghakimannya bersetuju terdapat unsur rasuah yang berlaku dalam kempen Mohd Zubir bagi memancing undi pengundi.

Hakim seterusnya membenarkan permohonan dari peguam responden untuk mendapatkan perintah penggantungan sementara bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Peguam Amzad Wan Rohimi Wan Daud berkata permohonan itu dibuat bagi memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya SPR tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut.

“Kerana kita akan buat rayuan di Mahkamah Persekutuan. Jadi sebab itu kita terus mohon untuk penggantungan sementara dalam tempoh 14 hari untuk kita failkan semula rayuan.

“Maksudnya sekarang ini keputusan mahkamah masih lagi belum dikuatkuasa sehingga Mahkamah Persekutuan terima rayuan responden,” katanya.

Pengisytiharan pengosongan kerusi akan menyebabkan pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi Kuala Terengganu.

Sementara itu, Amzad pula berkata beliau akan terus memperjuangkan kes tersebut dengan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Saya tak ada masalah kita akan lawan sehingga penghujung,” katanya.

Beliau juga sangsi kerana keputusan bagi kerusi berkenaan bertentangan dengan keputusan mahkamah mengekalkan kemenangan Abdul Hadi Awang di kerusi Marang.

“Jadi saya fikir Mahkamah Persekutuan adalah tempat terbaik untuk saya dapat pengesahan  tentang keputusan Mahkamah Tinggi hari ini,” katanya.

Mengulas mengenai statusnya juga, Amzad berkata akan memohon penjelasan Speaker Dewan Rakyat berhubung peranannya di Parlimen.

“Seperti yang kita sedia maklum saya dilantik sebagai pengerusi parlimen jawatankuasa berkaitan sains alam sekitar dan perladangan, jadi saya perlu minta pandangan speaker

“Malah saya juga dijadualkan untuk pergi ke Bogor pada 6 Julai ni mewakili negara berkaitan persidangan alam sekitar,” katanya. – 27 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen