SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat beberapa ahli politik yang terbabit dalam melindungi kegiatan perjudian haram, kata ketua pesuruhjaya Azam Baki.
Azam bagaimanapun berkata beliau tidak boleh mendedahkan butiran pada masa ini.
“Saya tidak boleh mendedahkan ahli politik yang sedang disiasat tetapi saya boleh mengesahkan ia berterusan.
“(Dan) jika terbukti, ia sememangnya satu kesalahan,” kata Azam Baki dipetik akhbar New Straits Times selepas menghadiri Hari Integriti Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur 2023 hari ini.
Mengenai hubungan politik mereka yang disiasat, Azam berkata beliau juga tidak boleh mendedahkannya.
“Kalau ahli politik, itu ahli politiklah,” katanya.
Awal bulan ini Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Parlimen bahawa naungan politik adalah kekangan terbesar yang menghalang penguatkuasa undang-undang daripada mengambil tindakan terhadap sindiket perjudian dalam talian.
Beliau berkata sindiket ini dilindungi oleh ahli politik yang mendapat manfaat daripada pakatan haram.
“Ya, memang wujud elemen naungan politik ke atas players (pengendali platform perjudian dalam talian) ini.
“Dari situ datang pengaruh dan perlindungan, korupsi dan rasuah, (oleh itu) wujud kehendak politik untuk mengada dan membaharui tekad memerangi habis-habisan.
“Pusingannya adalah ‘players’ dinaungi dan dia membalas (jasa) tuan politik. Tuan politik melindungi dia supaya tindakan tidak diambil. Contohnya, maklumat dibocorkan dan sebagainya,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau kemudiannya berkata terpulang kepada polis dan SPRM untuk menyiasat dan membawa penjenayah itu ke mahkamah. – 27 Jun 2023.
Komen