ANGKA kematian akibat kejadian berkaitan hujan di Pakistan meningkat kepada 23 orang selepas mangsa meninggal dunia akibat kecederaan mereka dalam tempoh 24 jam ketika negara itu menyaksikan permulaan musim monsun, kata pegawai pada Isnin.
Jurucakap pasukan penyelamat Rescue-1122 di wilayah timur Punjab, Farooq Ahmad berkata semua kematian yang dilaporkan berlaku atas tiga sebab berbeza iaitu terkena renjatan elektrik, lemas dan kilat, lapor Xinhua.
“Lima orang maut di daerah Narowal dan dua lagi di daerah Sheikhupura selepas disambar kilat. Sekurang-kurangnya tujuh orang lemas dan enam lagi kehilangan nyawa akibat terkena renjatan elektrik di kawasan berbeza di wilayah itu,” menurut jurucakap itu dalam satu kenyataan.
Sekurang-kurangnya 75 orang cedera akibat terkena renjatan elektrik manakala kejadian dinding serta bumbung runtuh di beberapa daerah, termasuk Narowal, Lahore, Chiniot dan Sheikhupura.
Awal pagi Isnin, tiga orang termasuk seorang ibu dan dua anaknya terbunuh apabila bumbung rumah mereka runtuh di kawasan Pekan Shahzad di pinggir Islamabad, kata pegawai penyelamat tempatan.
Polis tempatan meminta orang ramai mengelak perjalanan tidak perlu dan berhati-hati semasa musim hujan, memandu dengan berhati-hati dan menjauhi pemasangan dan tiang elektrik.
Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Sharif mengarahkan kerajaan wilayah dan pentadbiran daerah mengambil langkah segera untuk mengalirkan air bertakung di kawasan bandar di daerah yang berbeza.
“Pastikan aliran trafik yang tidak terganggu dan langkah perlindungan selain pencegahan di bahagian lain di negara ini. Gerakkan juga pasukan dari semua institusi berkaitan dalam keadaan hujan dan sentiasa memantau keadaan dan mengambil langkah pentadbiran,” menurut perdana menteri dalam kenyataan itu. – Bernama, 27 Jun, 2023.
Komen