Kerajaan negeri sementara tidak boleh buat keputusan penting, kata Bersih


Enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah and Terengganu akan mengadakan PRN selepas DUN dibubarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2023.

BERSIH mengingatkan semua enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) bahawa mereka hanya kerajaan sementara selepas pembubaran DUN dan tidak sepatutnya membuat sebarang keputusan penting atau mengumumkan projek.

Jawatankuasa Pemandunya berkata fungsi kerajaan sementara adalah untuk memastikan operasi asas kerajaan berjalan sehingga kerajaan baharu dibentuk.

“Kerajaan sementara ini perlu berhenti daripada membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek-projek baharu. 

“Sebarang keputusan atau pengumuman baharu secara demokratiknya adalah salah serta meragukan dari sudut undang-undang kerana mereka tidak mempunyai kuasa selain penjaga sementara,” kata Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN ialah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah and Terengganu.

Tarikh untuk enam pilihan raya negeri masih belum ditetapkan dan ia mesti berlangsung pada September.

Bersih berkata pejabat setiausaha kerajaan-kerajaan negeri perlu mengeluarkan satu garis panduan kerajaan sementara sebagaimana yang telah dilakukan di peringkat persekutuan.

“Garis panduan itu antara lain menyatakan kerajaan sementara tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat.

“Ia mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan Kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam.

“Apa-apa projek kerajaan-kerajaan negeri yang bakal/telah terbubar ini mahukan hanya boleh dijanjikan di dalam manifesto mereka dan tidak boleh diumumkan sebagai satu ketetapan,” katanya.

Bersih juga menggesa rakyat Malaysia untuk memantau dan mendesak semua kerajaan negeri yang bakal terbubar menghormati asas demokrasi.

“Sekiranya salah laku dibenarkan kerana bias politik, maka semua parti akan berlumba-lumba ke arah keburukan dengan membentur undang-undang untuk memenangi pilihan raya dengan mengorbankan kepentingan awam,” katanya. – 27 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen