Menteri gesa MPKB tarik balik saman wanita pakai seluar pendek


Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata di bawah Perlembagaan Persekutuan, rakyat Malaysia bebas memakai apa sahaja pakaian yang mereka mahu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2023.

MAJLIS Perbandaran Kota Baru (MPKB) perlu tarik balik saman yang dikeluarkan kepada seorang wanita bukan Islam kerana dikatakan berpakaian tidak sopan, kata Nga Kor Ming hari ini.
Menteri pembangunan kerajaan tempatan berkata wanita itu, pemilik kedai pakaian, berhak memakai apa yang diinginkannya.

“Saya meminta MPKB supaya tidak menyalahgunakan kuasa mereka dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan memandangkan kita adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama.

“Ini adalah pekedai bukan Islam di premisnya sendiri. Jadi, menjadi haknya untuk memakai apa yang dia mahu,” katanya dipetik New Straits Times hari ini.

Nga berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan, rakyat Malaysia bebas memakai apa sahaja pakaian yang mereka mahu.

Nga berkata perkara sensitif sebegitu menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

“Saya menggesa semua majlis perbandaran agar tidak begitu ghairah mengeluarkan saman dan cuba berkompromi atau sekurang-kurangnya mendidik mereka terlebih dahulu.

“Saya meminta MPKB dan juga kerajaan negeri, PAS, untuk menarik balik saman itu jika boleh kerana isu ini menimbulkan kekecohan dalam kalangan masyarakat bukan Islam,” katanya.

Semalam, seorang wanita bukan Islam dikompaun oleh MPKB kerana “berpakaian tidak sopan”.

Datuk Bandar MPKB Rosnazli Amin berkata wanita itu dikompaun di bawah Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil dan Tred Perniagaan dan Perindunstrian 2019.

Seksyen 34(2)(b) menyatakan pemilik lesen perniagaan mesti memastikan mereka yang bekerja di premis berpakaian “sopan” atau, jika mereka beragama Islam, menutup aurat.

Sementara itu, Rosnazli berkata gambar wanita itu memegang kertas saman yang dimuat naik di Facebook  mengelirukan kerana beliau memakai pakaian berbeza ketika dikompaun. – 27 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen