Ibadah haji sebelum penaklukan Wahhabi


Faisal Tehrani

Perkuburan Baqi.

TERDAPAT sebuah manuskrip syair yang dikenali di alam Melayu dengan dua nama. Di Malaysia ia dinamai sebagai Syair Makkah. Manakala di Indonesia ia dirujuk sebagai Syair Haji.

Di beberapa tempat sekitar rantau ini, ia termuat sebagai satu bab atau fasal dalam Syair Qawa’id AI-Islam di bawah Pasal pada Menyatakan Haji dan Umrah. Ia dipercayai disalin pada tahun 1804.

Saya berpandangan Syair Haji ini sangat penting dan bersejarah lantaran ia memerikan kepada kita bagaimana keadaannya ibadah haji dan ziarah sebelum Mekah dan Madinah diserang oleh tentera Wahhabi.

Tidak syak lagi Syair Haji ini dikarang oleh penulisnya dengan tujuan untuk menghuraikan hukum-hakam ibadah haji.

Makanya ia dilontarkan secara lisan (mungkin sahaja dinyanyikan), yang dengan itu jemaah yang kurang berpendidikan atau buta huruf akan senang mengingat rukun dan juga selok-belok rukun Islam kelima ini.

Selain perincian cara mengerjakan haji dan umrah, ia juga menjelaskan perihal ziarah di kota Madinah.

Di awal syair ini, pengarang yang tidak menyatakan namanya bagaimanapun ada menyatakan motif penulisannya adalah dakwah:

Al-hamdulliilahi I-Iazi’ ja’ala kana l-Islam
Wa s-salatu was-salamu ‘ala sayy’idi l-anam
Hadana ila dari l-Islam
Teranglah zulmat daripada kelam

Syair Haji ini memuatkan antara lain; yang ibadah haji itu wajib dilakukan oleh orang Islam; syarat-syarat ibadah haji; ibadah haji dan niatnya; ibadah haji perlu diikuti dengan umrah; pelaksanaan ibadah haji seperti urusan di Arafah, Mina dan ibadah korban. Pengarang menukilkan:

Rukun dan wajib fardu sekutu
Sekalian ibadah maknanya satu
Jikalau tinggal salah sesuatu
Tiadalah sah ibadahnya (itu).

Melalaikan haji, umrah pun sama
Rukun dan wajib berlainan makna
Ketinggalan rukun haji percuma
Ketinggalan wajib, dan terkena.

Meninggalkan rukun tiadalah sah
Meninggalkan wajib beroleh susah
Dibayar damnya, hajinya sah
Demikianlah hukum haji dan umrah.

Meskipun syair ini menerangkan perihal fikah haji, tetapi ia tidaklah dipersembahkan semata-mata sebagai doktrin agama secara total.

Ia tetap memiliki elemen sasterawi dengan mengambil sudut pandang seorang Raja Rum (mungkin yang dimaksudkan di sini ialah raja negeri Turki).

Lantas, terdapat banyak bait memuji memuja Raja Rum ini sebagai raja yang hebat, adil, merakyat dan warak.

Tersebut pula suatu perkataan
Sultan Rum di atas kerajaan
Terlalu sangat besar kerajaan
Duduk ia dalam kesukaan.

Sultan Rum yang muktabar
Tahta kerajaan terlalu besar
Beberapa keti hulubalang dan lasykar
Sekalian khidmat di bawah mimbar.

Tauhid sangat sekali-kali
Mengikut warta Sayyidina Ali
Mengerjakan perang yang sabil
Sentiasa ia tidur al-mudali.

Setibanya di kota Mekah, antara yang pertama baginda lakukan ialah mencari keturunan Rasulullah dan ia mestilah daripada jalur Saidina Ali. Ini adalah selaku memohon berkat dan restu agar ibadah haji dan umrahnya lancar dan dipermudahkan:

Amir haji pun datang menjunjung duli
Kepada Baginda, Syarif yang asli
Kepada nabi Allah, ialah olih
Turun-temurun daripada Sayyidina Ali.

Membaca Syair Haji ini turut memberikan kita gambaran kecil bagaimana rupanya wukuf di Padang Arafah pada tahun 1804. Antara lain penyair ini menyebutkan begini:

Ada yang sampai sudah ke Mina
Setengah itu berhenti di sana
Berkibaran panji-panji warna
Tiga jenis tulus astakana.

Seperti mana hari ini, kita dapat membayangkan yang jemaah haji bergerak menurut kumpulan dan rombongan; kadang-kala dengan bendera berwarna tertentu. 

Demikianlah juga suasana di Arafah tatkala itu. Keadaan pergerakan ke Arafah itu amatlah riuh rendah. Meskipun jemaah haji waktu itu tidaklah seramai hari ini, akan tetapi ia masih tetap kecoh dibandingkan skala zaman itu:

Berjalan serta orang berarak
Riuh dengan tempik dan sorak
Seperti bumi akan bergerak
Hilanglah akal, pendapat, adrak.

Setengah berhenti di Muzdalifah
Ada yang sampai ke Padang Arafah
Mengiringkan Baginda, duli khalifah
Beberapa pakaian yang amat Tuhfah.

Akan tanda telah haram kedua alam
Kepada manusia sekaIian Islam
Itulah tanda tanah haram
Hadis daripada Masjidil Haram.

Setelah sampai ke tanah merah
Masing-masing
Orang berjalan, bergerak
Sesudah babunya kendang pengarah.

Tatkala tahun 1804 itu juga perjalanan ke Arafah berlaku dengan bunyian gendang, yang mungkin sahaja untuk memberikan fokus agar jemaah haji tidak terlencong dan terkeluar jurusan lalu sesat jalan.

Makanya bunyian yang unik ini akan memberikan mereka tumpuan. Pun, setibanya di Arafah bunyi-bunyian itu dihentikan.

Habislah sunyi sekalian kendang
Orang berhenti di tengah padang
Luas seujana mata memandang
Akan minuman orang yang haji.

Seperti lazimnya selepas selesai ibadah haji, jemaah akan bergerak pula ke kota Nabi untuk menziarahi Rasulullah  dan demi melihat jejak sirah atau sejarah perjuangan baginda. Di kota Madinah, antara amalan yang dianjurkan oleh pengarang ialah untuk bertawasul dan memohon syafaat Saidatina Fatimah Zahra:

Memberi salam kepada Siti Fatimah
Ialah hak Sayyidul Ummah
Yang memohonan syafaat kepada Rasul
Dari sekarang hingga kiamat.

Minta syafaat serta rahmat
Supaya doa segeralah kabul
Supaya perkataan menjadi kabul
Bemaung di bawah panji-panji dan tunggul.

Di sisi baginda Rasulullah, jemaah haji disaran memperbanyakkan selawat untuk baginda Rasulullah seraya mengelakkan dosa seperti berkelahi. Bait-bait yang menyebutkan Saidina Ali dan isterinya di atas memberi isyarat tepunya kecintaan terhadap ahlul bait atau keluarga Rasulullah.

Duduk di Madinah membaca selawat
Akan penghulu kita, sahabat nubuwat
Jangan berseteru dan berwakdat
Pekerjaan yang baik itu diperbuat.

Satu lagi gambaran menarik yang boleh dijadikan rujukan ialah ketika itu di kota Madinah, perkuburan Baqi masih belum diserbu dan diratakan seperti mana hari ini. Kita mendapati masih ada pusara dan makam tertentu pada tahun 1804 yang boleh dilawati berbanding hari ini. Pusara dan makam itu ada nama dan tuannya.

Ziarah kepada syuhada
la pun sahabat kepada Baginda
Ada yang tua dan ada yang muda
Sekalian itu mengikuti sabda.

Mengikut Rasulullah pergi perang
Beraninya sangat, terlalu garang
Baktinya sangat pada tiap-tiap orang
Sekalian kafir habis diserang.

Sayyidina Ibrahim, anak Sayyidul Basyar
Ialah laki-laki yang tiada besar
Pergilah ke sana mengikut asar
Ziarah kepada lahir dan asar.

Pada Sayyidina Abas, nabi ialah mama
Ahlu l-bayti yang terutama
Sayyidina Hasan Zainal Abidin ada nama
Muhammad dan Syafii Sidik Bartama.

Ziarah kepada istri Sayyidul Mursalin
Sckalian itu ummahatu l-mukminin
Ialah ibu kepada segala mukmin
Pohonkan kepada Allah, jadilah amin.

Bait-bait syair di atas pada tahun 1804 memberikan kita sekelumit gambaran bagaimana rupanya perkuburan Baqi sebelum kemusnahannya pada tahun 1806.

Harus dinyatakan di sini Pusara Baqi’ diratakan oleh tentera Wahhabi sebanyak dua kali. Pertamanya sebaik mereka mengambil alih Mekah dan Madinah dalam tahun 1806.

Pada waktu itu, banyak makam dan pusara keluarga Rasulullah dan para syuhada dimusnahkan dan diratakan, dengan alasan ia adalah bid’ah. Pada tahun 1806 itu juga kanak-kanak lelaki dan remaja yang belum tumbuh janggut dan jambang dilarang mengerjakan haji.

Manakala pada tahun 1805 jemaah haji Iraq dan Iran yang bermazhab Syiah tidak dibenarkan masuk ke tanah suci dengan hujah mereka kafir. Bukan itu sahaja jemaah haji Syria, dan Mesir ikut dihalang memasuki Mekah dan Madinah pada tahun 1806 dan 1807.

Terdapat dokumen pengembara Eropah, Johann Ludwig Burckhardt yang tiba di Baqi pada tahun 1815 menyatakan perkuburan itu meskipun sudah rosak tetap kekal diziarahi oleh jemaah haji.

Malah buat seketika kelompok Wahhabi dikalahkan dan pemerintah Othmaniyyah mencantikkan semula perkuburan Baqi ini selepas Pertempuran Diriyah 1818. Antara tahun-tahun 1848 ke 1860 kerajaan Othmaniyyah mendirikan kembali makam para ahlul bait di Baqi.

Kemusnahan kedua yang dilakukan oleh Wahhabi (tentera bergelar Askar Ikhwan) ke atas Baqi ialah pada 21 April 1926 yang dicatatkan oleh pengembara Inggeris Eldon Rutter seperti berlakunya gempa bumi. Pekerja dan askar upahan yang menghancurkan Baqi ini diberi upah 1000 majidi riyal.

Antara makam yang dihancurkan ialah miliknya ibu bapa Rasulullah Abdullah ibn Abdul-Muttalib dan Aminah. Turut dirosakkan ialah makam milik Isma’il ibn Jaafar, anak sulung Imam Jaa’far al-Sadiq iaitu oneng Nabi Muhamad.

Turut menjadi sasaran ialah makam Imam Malik ibn Anas, makam-makam isteri baginda Rasulullah. Lain dari itu makam 7,000 ahli keluarga Rasulullah turut diratakan.

Di dalam bait Syair Haji, pengarang menyatakan beliau menziarahi antara lain makam Abbas ibn Abd al-Muttalib, kuburnya Saidina Hassan cucu Rasulullah yang syahid diracun; makam Imam Ali Zainal Abidin yang merupakan anakanda Saidina Hussein yang terselamat dari dibunuh di Karbala; dan juga anakanda lelaki Rasulullah; Ibrahim ibn Muhammad.

Kesemua makam dan pusara ini dihancurkan dalam tahun 1926 itu dan sehingga sekarang menjadi satu petanda perit kejahatan askar Wahhabi terhadap jejak sirah.

Akibat perbuatan memusnahkan jejak keluarga Nabi ini amatlah besar. Hari ini jemaah haji yang ke tanah suci tidak pun mengenal perjuangan keluarga Rasulullah selepas kewafatan baginda.

Orang Melayu misalnya hanya terhenti mengenali Saidina Hassan dan Saidina Hussein sebagai cucu Nabi yang memanjat belakang Rasulullah ketika baginda bersembahyang. 

Kenapa mereka diberikan gelar penghulu belia di syurgawi tidak kita ketahui langsung. Ini kerana sisa sejarah itu sudah diratakan. Itulah tujuannya Taman Baqi dihancurkan.

Rakaman Syair Haji ini mencatatkan bagaimana ibadah haji dan ziarah sebelum ditakluk Wahhabi. Ia merupakan satu dokumentasi yang bermakna dalam bahasa Melayu, dari seorang pengarang yang dipercayai juga orang Melayu. – 27 Jun, 2023.
 

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen