PRESIDEN Rusia Vladimir Putin berkata beliau telah mengarahkan agar pertumpahan darah dielakkan semasa pemberontakan bersenjata dan menawarkan pejuang Wagner untuk menyertai tentera atau meninggalkan negara itu selepas pemberontakan mereka.
Beliau berkata demikian ketika Moscow dilihat mengambil pendekatan semua urusan berjalan seperti biasa selepas pemberontakan dramatik yang dilakukan oleh Wagner yang menggegarkan pemerintahannya selama lebih dua dekad.
“Dari awal, atas arahan saya, langkah-langkah telah diambil untuk mengelakkan pertumpahan darah berskala besar,” kata Putin yang turut berterima kasih kepada rakyat Rusia atas “ketahanan dan perpaduan, dan patriotisme” mereka.
Beliau berkata Barat dan Ukraine mahu tentera Rusia membunuh sama sendiri, dua hari selepas memberi amaran mengenai perang saudara.
“Inilah yang dimahukan oleh musuh Rusia: kedua-dua neo-Nazi di Kyiv dan penaung Barat mereka, dan semua jenis pengkhianat negara. Mereka mahu askar Rusia membunuh satu sama lain.”
Pemimpin lama Rusia itu memberi amaran percubaan untuk menyemai kekacauan di Rusia, yang telah diperintahnya selama lebih dua dekad, akan gagal.
“Perpaduan awam menunjukkan bahawa sebarang pemerasan, sebarang percubaan untuk mengatur pergolakan dalaman, pasti akan gagal,” katanya kepada rakyat Rusia.
Putin menuduh pemberontakan Wagner sebagai pengkhianatan dan—tanpa menyebut nama ketua mereka Yevgeny Prigozhin—menawarkan mereka sama ada menandatangani kontrak dengan tentera atau pergi ke negara jiran Belarus.
“Hari ini kamu mempunyai kemungkinan untuk terus berkhidmat dengan Rusia dengan menandatangani kontrak dengan kementerian pertahanan atau agensi penguatkuasaan undang-undang lain, atau kembali kepada keluarga dan orang terdekat… Sesiapa yang mahu boleh pergi ke Belarus,” kata Putin.
Pemberontakan 24 jam di Rusia berakhir dengan perjanjian yang diuruskan oleh Belarus ketika kumpulan Wagner menghampiri Moscow, dan Kremlin berkata Prigozhin bersetuju untuk pergi ke Belarus.
Putin kemudian mengadakan pertemuan dengan pegawai keselamatan tertingginya berhubung pemberontakan itu.
Pertemuan itu turut disertai Menteri Pertahanan Sergei Shoigu, yang menjadi sasaran utama kumpulan Wagner. Ia adalah kali pertama Shoigu dilihat di khalayak ramai sejak pemberontakan bermula. – AFP, 27 Jun, 2023.
Komen