AS tidak terlibat dalam pergolakan Rusia, kata Jabatan Negara


Duta Amerika Syarikat menghubungi Rusia secara langsung bagi menjelaskan negara itu tidak terlibat dalam pergolakan di Rusia. – Gambar EPA, 27 Jun, 2023.

DUTA Amerika Syarikat (AS) menghubungi Rusia secara langsung semasa pergolakan hujung minggu dan menjelaskan bahawa negara itu tidak terlibat, kata Jabatan Negara pada Isnin.

Jabatan Negara berkata Duta Besar Lynne Tracy di Moscow menyampaikan mesej itu kepada pegawai Rusia pada Sabtu, begitu juga pegawai AS di Washington yang menghubungi kedutaan Rusia.

Amerika Syarikat membuat hubungan “untuk mengulangi apa yang kami katakan secara terbuka—bahawa ini adalah urusan dalaman Rusia yang mana Amerika Syarikat tidak terlibat dan tidak akan terlibat,” kata jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller kepada pemberita.

Tracy dan pegawai AS di Washington juga berkata mereka “menjangka Rusia akan menjunjung kewajipannya untuk melindungi kedutaan kami dan melindungi kakitangan diplomatik” yang berpangkalan di Moscow, kata Miller.

Amerika Syarikat telah mengekalkan diplomasi pada tahap minimum dengan Rusia sejak pencerobohan Februari 2022 ke atas Ukraine, dengan perbincangan peringkat tinggi sebahagian besarnya tertumpu kepada rakyat Amerika yang ditahan. – AFP, 27 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen