Pemberontakan Wagner, Moscow tarik balik perintah darurat


Seorang lelaki mengibarkan bendera Rusia ketika ahli kumpulan Wagner bersiap sedia untuk berundur dari ibu pejabat Daerah Tentera Selatan untuk kembali ke pangkalan mereka di Rostov-on-Don l. – Gambar AFP, 26 Jun, 2023.

PERINTAH darurat yang dikenakan di Moscow berikutan cubaan pemberontakan tentera upahan Rusia Wagner pada hujung minggu ditarik balik hari ini selepas kemaraan kumpulan itu dihentikan.

“Semua sekatan akan ditarik balik,” kata Datuk Bandar Moscow Sergei Sobyanin di Telegram, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).

Festival graduasi sekolah tinggi yang pada awalnya dijadualkan pada Sabtu tetapi ditangguhkan berikutan situasi huru-hara akan berlangsung Sabtu ini, kata Sobyanin.

Darurat antikeganasan juga ditarik balik di lebih banyak wilayah di Moscow dan wilayah Voronezh yang lebih jauh ke selatan.

Perebutan kuasa yang berlarutan lama meletus antara tentera Rusia dan tentera upahan swasta Kumpulan Wagner diketuai oleh Yvgeny Prigozhin pada hujung minggu, dengan tentera Wagner menduduki bandar Rostov-on-Don di selatan Rusia buat sementara waktu. Prigozhin juga mengarahkan pejuangnya berarak ke Moscow untuk menggulingkan kepimpinan tentera.

Tentera upahan Wagner sedang bergerak ke ibu negara Rusia apabila pemimpin mereka secara tiba-tiba membatalkan pemberontakan berikutan perjanjian dengan Presiden Belarus Alexander Lukashenko.

Kedudukan Prigozhin pada masa ini tidak diketahui. – Bernama, 26 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen