CALON presiden Sierra Leone, Samura Kamara menuduh pasukan keselamatan cuba membunuhnya, sehari selepas pilihan raya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Anggota polis malam tadi mengepung ibu pejabat APC, parti pembangkang yang Kamara selaku calon parti itu dan dianggap pencabar tunggal kepada penyandang Presiden Julius Maada Bio.
“Secara langsung dari pejabat parti saya. Orang ramai berbaring di atas lantai dan tentera mengepung bangunan itu. Tembakan turut dilepaskan ke arah pejabat saya. Ini adalah cubaan membunuh,” tulis Kamara di Twitter yang turut berkongsi gambar keadaan di pejabatnya.
Setakat ini polis belum memberikan sebarang kenyataan.
Dakwaan cubaan bunuh itu berlaku ketika Kamara sedang mengadakan sidang media, manakala penyokongnya meraikan kemenangan di hadapan bangunan parti.
Terdahulu, APC dan parti pemerintah SLPP Bio mendakwa telah memperoleh kemenangan dalam pilihan raya yang diadakan pada Sabtu itu.
Pengumuman keputusan rasmi masih belum dibuat dan djangka mengambil masa untuk diumumkan.
Pilihan raya di negara berpenduduk kira-kira 8.8 juta itu menyaksikan persaingan sengit antara dua parti terbesar yang masing-masing mendapat sokongan kumpulan etnik dan wilayah tertentu.
Pada 2018, Kamara yang merupakan menteri dalam kerajaan sekarang, tewas di tangan Bio.
Pilihan raya kali ini menyaksikan Bio mendahului, walaupun keadaan ekonomi di negara itu merosot dengan ketara. Hampir dua pertiga daripada belia di negara ini didapati menganggur.
Pada Ogos tahun lalu, lebih 20 penunjuk perasaan dan enam pegawai polis terbunuh selepas pasukan keselamatan bertindak terhadap protes.
Bahkan sebelum pilihan raya bermula, APC mengesyaki berlaku penyelewengan dan menggesa protes diadakan.
Kelewatan kelangkapan pilihan raya menjejaskan proses pengundian pada Sabtu itu dan terdapat beberapa kes pengundi tidak dapat mengundi.
Ketua suruhanjaya pilihan raya itu mengakui terdapat beberapa masalah tetapi hanya di sebilangan kecil pusat mengundi dan menyeru parti yang bertanding supaya tidak memberikan penyokong mereka “harapan palsu”. – Bernama, 26 Jun, 2023.
Komen