Inspektor Sheila didakwa mengugut, aib kehormatan


Inspektor Sheila Sharon Steven didakwa di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas dua pertuduhan iaitu ugutan jenayah dan menghina kesopanan individu. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Jun, 2023.

SEORANG pegawai polis wanita yang tular di media sosial didakwa di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas dua pertuduhan iaitu ugutan jenayah dan menghina kesopanan individu.

Sheila Sharon Steven, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Chai Gua Hock.

Mengikut pertuduhan pertama, Sheila didakwa melakukan ugutan jenayah ke atas Silverkoomarie Muthiah, 69, dengan niat mendatangkan kegentaran kepada wanita warga emas terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di No 8, Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak, jam 12 tengah hari pada 15 Jun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Sheila didakwa dengan niat menghina kesopanan dengan berkata: “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu” terhadap Taneswaran Palaraman, 40, di No 8, Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak, jam 1 tengah hari pada 15 Jun.

Bagi pertuduhan kedua, Sheila didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sheila tiba di mahkamah bersama peguamnya, M. Manoharan dan M. Hariharan jam 8.55 pagi tadi.

Sebaik pertuduhan dibacakan, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal menawarkan ikat jamin berjumlah RM8,000.

Bagaimanapun, Manoharan memohon mahkamah memberikan jaminan bon atau jaminan paling rendah.

Ini kerana selain Sheila, bapanya juga seorang bekas pegawai polis berjawatan asisten komisioner dan berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 39 tahun.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Majistret menetapkan 7 Ogos sebagai tarikh serahan dokumen kes tersebut. – 26 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen