PELABUHAN Hodeida yang dipegang pemberontak Yaman, iaitu talian hayat bagi negara bergolak itu kekal menjadi “tanah tandus”, tiga bulan selepas pakatan pimpinan Arab Saudi berkata ia telah menarik sekatan.
Itu penilaian yang dibuat oleh apara pegawai kemanusiaan dan pelabuhan selepas empat tahun Arab Saudi dan sekutu serantaunya menghantar tentera mereka ke Yaman.
Operasi yang dilancarkan pada Mac 2015, dengan matlamat untuk mengguling pemberontak Syiah Huthi dan mengembalikan semula kuasa pemerintahan Yaman, telah menyebabkan apa yang disebut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusian terburuk di dunia.
Majlis Keselamatan PBB pada Khamis telah memberi amaran bahawa keadaan di Yaman semakin buruk dan memberi kesan “dahsyat” kepada orang awam, di mana 22.2 juta orang kini perlu diberi bantuan kemanusiaan.
Status Hodeida, pelabuhan terbesar dan pintu masuk bagi majoriti populasi yang bergantung kepada bantuan kemanusiaan, bagaimanapun kini menjadi pintu masuk bagi kesengsaraan.
Menurut agensi PBB, import makanan pada Februari hanya separuh daripada permintaan bulanan.
PBB berkata penghantaran bekalan makanan tersebut adalah yang terendah sejak badan dunia itu mula memeriksa kargo pada Mei 2016.
Pelabuhan Hodeida yang dulunya amat sibuk kini tidak menerima penghantaran, dengan beberpa kapal yang masuk hanya untuk mengeluarkan bekas-bekas kosong dan mengangkutnya keluar. – AFP, 25 Mac, 2018.
Komen