Azmin Ali masuk ke pusingan kedua


Mohd Azizi Jaeh

DI sebalik badai yang melanda kariernya, Azmin tampil dengan misi dan rencana untuk menggulingkan Pakatan Harapan di Selangor. Keghairahannya memberikan gambaran yang beliau bakal bertindak selaku pencabar utama.

Hakikatnya Azmin berhasrat meruntuhkan legasi kukuh yang pernah dibina dan dipimpinnya suatu ketika dulu – apabila meletakkan kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai pangkalan terkuat di Lembah Klang.

Genap tiga penggal PKR dan PH telah menguasai pusat pentadbiran Selangor, dan dua pertiga daripada tempoh berkenaan merupakan kerja tangan Azmin.

Kedudukannya sebagai timbalan presiden PKR (2010-2020) dan menteri besar Selangor (2014-2018) meletakkannya namanya cukup berpengaruh di kalangan pengundi Parlimen Gombak dan kawasan DUN Bukit Antarabangsa serta di Hulu Kelang.

Berlandaskan track record di peringkat negeri, pengalaman Azmin di peringkat politik persekutuan selaku Menteri Kanan dapat membantu menaikkan reputasinya sebagai tokoh besar dari Selangor –sepertimana Datuk Harun Idris dan Tan Sri Khalid Ibrahim antara yang mencipta nama besar.

Kekalahan kepada anak didiknya Amirudin Shari di Parlimen Gombak pada PRU15 meningkatkan keazamannya untuk memerangi Pakatan Harapan habis-habisan. Setelah beberapa bulan menjalani political hibernation, Azmin kembali muncul dengan karektor yang agresif dan lantang untuk melakukan kejutan di Selangor.

Ahli politik yang berjaya antara lain mampu mencetuskan kejutan, tipu muslihat dan bijak menerpa peluang. Jauh sekali mengenali garis penamat.

Pertembungan antara guru-murid dalam berbalas serangan ketika ini meningkatkan lagi suhu bahang  PRN. Sekiranya Azmin turun bertanding kerusi DUN, ia dikira perlawanan di pusingan kedua selepas pusingan pertama berlaku di Parlimen Gombak pada November 2022 (PRU15).

Percubaan kedua Azmin ini disifatkan langkah memulihkan semula kewibawaannya selepas kalah. Beliau mungkin mengintai peluang untuk mencipta sejarah dan kembali dipilih semula menyandang jawatan menteri besar – seperti Raja Tun Uda Raja Muhammad yang dua kali menjadi menteri besar dalam sejarah politik Selangor.  

Menyaksikan Azmin menyampaikan ucapan di beberapa kawasan ketika pelancaran jentera pilihan raya PN menunjukkannya bukan pemain kecil. Penyokongnya yang hadir mampu memanaskan suasana, malah beliau tampil menyampaikan ceramah dengan nada berapi-api serta diselangselikan dengan lawak jenaka menyerang musuh politiknya. Anwar adalah target serangannya.

Bagi penulis, pemimpin kelahiran Singapura pada 1964 ini memiliki semangat dan sentuhan keupayaan untuk bertindak tangkas ketika menghadapi tekanan besar, sebagaimana yang sentiasa dilalui bekas mentor dan political master beliau Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad.

Azmin tahu beliau perlu menang PRN kali ini untuk memastikan kempen “menang PN di Selangor, Anwar akan turun di Putrajaya.” Dari awal lagi, Azmin bercita-cita besar menandingi ketokohan Anwar apabila sanggup mengambil haluan bertentangan untuk menyekat kemaraan bekas bossnya itu.

Perlu diingatkan, tindakan Azmin menukar baju kepada parti Bersatu dan PN menjerumuskan sengketa berpanjangan untuk percaturan jawatan perdana menteri.  Bagi pengundi di bandar, pengkhianatan dan pembelotan yang dilakukan antara faktor pencelah mengapa Azmin tidak menang di kawasan yang ditandinginya.

Sesetengah pengundi khususnya di kawasan yang kadar perbandarannya agak tinggi tidak boleh melupakan tindakan melompat parti sewenang-wenangnya. Zuraida Kamaruddin, Rashid Hasnon, Kamaruddin Jaffar dan Mansor Othman antara pasukan Azmin dan ahli parlimen yang ditunjukkan jalan keluar oleh pengundi.

Oleh yang demikian, Azmin perlu membuktikan Langkah Sheraton bukanlah satu kesilapan dan harus memastikan kemenangannya dalam PRN kelak dapat meneruskan kesinambungan perjuangannya.

Pada usia 59 tahun kini, beliau dianggap tokoh di usia pertengahan dalam konteks politik Malaysia. Tidak ada alasan untuknya perlu berundur awal. Dia dianggap sebagai ayam tambatan dan penggerak utama PN seperti Sanusi Mohd Noor di Kedah.

Memandangkan graf sokongan kepada PN semakin meningkat-naik, mungkin Azmin mahu menyaksikan ulangan kepimpinan BN dan PH berjaya ditumbangkan pada November lalu akibat ledakan rrevoulsi Melayu di kotak undi – sepertimana rebahnya sebaris kepingan domino di negeri Utara, Pantai Timur dan kini boleh merebak dan terjadi di Lembah Klang.

Gelombang PN diharapkan oleh jentera Azmin akan melimpah turun dan berjangkit ke 56 kawasan DUN Selangor. Lebih-lebih lagi, untuk menggegarkan kawasan Selangor Tengah seperti di Petaling Jaya, Damansara, Subang dan Puchong. Beliau menekankan PRN kali ini sebagai “peluang kedua membebaskan Selangor.”

Mungkinkah akan berlakunya giliran untuk PN untuk mentadbir? Selepas sejarah merakamkan Selangor pernah dikuasai lebih 50 tahun parti BN/Umno dan kemudiannya 15 tahun zaman Pakatan Harapan.

Lebih mustahak, Azmin mahu dirinya dikenang bukan semata-mata kerana kemenangannya dalam pilihan raya, bahkan kerana kebolehannya mengubah peta dan sejarah politik Malaysia – berjaya mengangkat PH dan juga berjaya meletakkan PN sebagai kerajaan –sama ada secara electoral mahupun coup de grace iaitu rampasan kuasa.

Kita sama-sama menunggu dengan penuh debar perkembangan selanjutnya berhubung ketua penerangan PN itu. – 26 Jun, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen