INDIA dan Mesir pada Ahad sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada “perkongsian strategik” semasa lawatan Perdana Menteri Narendra Modi ke Kaherah.
Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi dan Modi mengadakan perbincangan untuk memperluas hubungan dalam bidang perdagangan dan pelaburan, teknologi maklumat, pertahanan, tenaga boleh baharu, pertanian, kesihatan dan kebudayaan.
“Perjanjian bagi meningkatkan hubungan dua hala kepada ‘Perkongsian Strategik’ telah dimeterai oleh kedua-dua pemimpin. Tiga MoU (memorandum persefahaman) dalam bidang pertanian, arkeologi dan barang antik serta undang-undang persaingan turut ditandatangani,” menurut Pejabat Perdana Menteri India.
Sisi turut menyampaikan anugerah awam tertinggi Mesir “Order of the Nile” kepada Modi.
Presiden Mesir itu menjadi tetamu utama pada sambutan Hari Republik India di New Delhi pada Januari dan dijangka berkunjung ke New Delhi sekali lagi sebagai tetamu pada sidang kemuncak kepimpinan G20 pada September.
“Perdana Menteri dan Presiden Sisi turut membincangkan kerjasama dalam G-20, mengetengahkan isu ketakjaminan makanan dan tenaga, perubahan iklim dan keperluan untuk Global South mempunyai kesepaduan suara,” menurut kenyataan kerajaan India.
Modi memulakan lawatan negara dua hari ke Mesir pada Sabtu.
Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan mengenai membina hubungan India-Mesir yang lebih kukuh dengan Perdana Menteri Mesir Mostafa Madbouly dan beberapa menteri Kabinet yang lain.
Beliau turut bertemu mufti Mesir Shawky Ibrahim Allam dan ketua pegawai eksekutif Hassan Allam Holding Company, Hassan Allam. – Bernama, 26 Jun, 2023.
Komen