Biden, Zelensky bincang mengenai pemberontakan tentera upahan di Rusia 


Pemimpin Ukraine Volodymyr Zelensky berkata dunia mesti memberi tekanan kepada Rusia sehingga ketenteraman antarabangsa dipulihkan. – Gambar EPA, 26 Jun, 2023.

PEMIMPIN Ukraine Volodymyr Zelensky dan Presiden AS Joe Biden pada Ahad membincangkan pemberontakan tentera upahan di Rusia yang mencetuskan krisis politik terbesar Moscow dalam beberapa dekad.

“Saya bercakap dengan Presiden AS Joseph Biden. Perbincangan yang positif dan memberi inspirasi,” kata Zelensky menerusi Twitter.

“Kami membincangkan perjalanan permusuhan dan proses yang berlaku di Rusia,” katanya, sambil menambah kedua-duanya juga telah membincangkan mengenai senjata jarak jauh.

White House mengesahkan perbincangan itu dalam satu kenyataan berasingan.

“Dunia mesti memberi tekanan kepada Rusia sehingga ketenteraman antarabangsa dipulihkan,” tambah Zelensky.

Pemberontakan bersenjata oleh ketua Wagner Yevgeny Prigozhin, yang telah berazam untuk menjatuhkan kepimpinan tentera Rusia, mencetuskan krisis politik terbesar Rusia dalam beberapa dekad.

Pada hujung minggu, Prigozhin mengarahkan tenteranya untuk mengambil alih ibu pejabat tentera utama di selatan Rusia dan melancarkan perarakan ke Moscow, sebelum tiba-tiba memberitahu tentera upahannya untuk berpatah balik selepas perjanjian dengan Presiden Belarus Alexander Lukashenko.

Pemberontakan yang dibatalkan itu mengejutkan ramai pihak di Rusia dan di luar negara.

Zelensky juga berkata kedua-dua pemimpin turut membincangkan lebih banyak bantuan AS “dengan penekanan pada senjata jarak jauh” dan menyelaraskan kedudukan kedua-dua negara pada malam sebelum sidang kemuncak Nato di Vilnius bulan depan. – AFP, 26 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen