KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan makanan termasuk daging, mencukupi untuk keperluan sambutan Aidiladha tahun ini.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata pihaknya akan memastikan perkara itu dan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata menerusi agensinya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Persatuan Peladang Kebangsaan (PPK) juga akan membuat intervensi jika berlaku kenaikan harga mengejut barang keperluan itu.
“FAMA dan Persatuan Peladang (PPK) akan melakukan ‘interfere’ seperti Ramadan yang lepas. Alhamdulilah, harga daging dapat dikawal malah dijual dengan harga yang lebih murah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Sukan 89 Arena, Klang, hari ini.
Sementara itu Mohamad memaklumkan FAMA sedang merancang untuk menambah cawangan sedia ada di negara ini bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan.
“Keterjaminan makanan ini memang dah jadi isu dunia bukan hanya di Malaysia, satu dunia terlibat katanya,” katanya. – Bernama, 25 Jun, 2023.
Komen