PRESIDEN Zimbabwe Emmerson Mnangagwa yang juga ketua parti pemerintah ZANU PF semalam melancarkan kempen sebagai persediaan menghadapi pilihan raya pada 23 Ogos untuk penggal kedua, lapor Xinhua.
Berucap kepada ribuan penyokongnya di Chipinge selepas pengisytiharan tarikh pilihan raya, Mnangagwa menggesa penyokongnya mengundi parti pemerintah yang membawa kemerdekaan kepada negara Afrika selatan.
Beliau berkata pentadbirannya berjaya memenuhi banyak janji yang dibuat sebelum ini.
“Kami menyelesaikan krisis bahan api dan kekurangan bekalan elektrik,” kata Mnangagwa kepada penyokongnya.
Beliau berkata di bawah kepimpinannya Zimbabwe berjaya menangani isu keselamatan makanan.
“Dalam tempoh yang singkat kami mengembangkan sektor pertanian daripada AS$3.8 bilion kepada AS$8 bilion,” katanya.
Sekatan yang dikenakan ke atas Zimbabwe lebih dua dekad lalu oleh negara Barat tidak seharusnya menghalang rakyat Zimbabwe daripada membangunkan negara mereka, kata Mnangagwa.
Beliau juga menyeru rakyat Zimbabwe untuk terus memelihara keamanan semasa negara menuju ambang pilihan raya.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Zimbabwe, 11 calon presiden telah diluluskan oleh badan pilihan raya untuk bertanding dalam pilihan raya tahun ini. – Bernama, 25 Jun, 2023.
Komen