Perikatan yakin menang di lima negeri, kata Hamzah 


Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin gabungan itu yakin dapat mempertahankan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta mengambil alih Selangor dan Pulau Pinang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) yakin dapat memenangi lima negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, menurut ketua pembangkang Hamzah Zainudin.

Setiausaha agung PN berkata, gabungan itu yakin dapat mempertahankan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, serta mengambil alih Selangor dan Negeri Sembilan.

“Sebagai Setiausaha Agung, kita buat analisa boleh dikatakan tiap-tiap hari menerusi pegawai yang saya hantar (ke lapangan) dan Insya-Allah Kelantan, Terengganu dan Kedah kita dapat pertahankan.

“Dengan keretakan di Selangor dan Negeri Sembilan, Insya-Allah PN boleh ambil alih, dengan Pulau Pinang tidak lama lagi.

“Justeru, mari kita pakat pertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala Selangor dan Negeri Sembilan kita akan ambil alih pada PRN ini. Pulau Pinang pula, kita pakat tumbangkan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jentera Pilihan Raya PN Kelantan yang dirasmikan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang di Kota Bharu, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob dan timbalannya, Mohd Amar Nik Abdullah.

Hamzah yakin PN akan mencapai kemenangan besar pada PRN akan datang dengan bantuan jentera pilihan rayanya.

“Kita akan perang habis-habisan, biar lawan merasakan gerun dengan jentera kita,” katanya.

Hamzah yang juga ketua pembangkang menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai kerajaan ‘flip flop’.

“Dia kata nak bentuk kerajaan perpaduan, Alhamdulillah, sebab nak satukan rakyat. Namun kenyataan yang dikeluarkan penuh dengan pembohongan dan rakyat tidak mahu mendengarnya.

“Seperti hari ini, ringgit jatuh dan saya ingin memberitahu mereka, ringgit jatuh kerana kerajaan tidak tahu bagaimana untuk menentukan dasar yang dibuat untuk memberi manfaat kepada rakyat dan pelabur,” katanya. – 25 Jun, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen