BARISAN Nasional (BN) tidak perlu layan kenyataan dibuat bekas setiausaha publisiti DAP Tony Pua terhadap gabungan itu, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN itu berkata beliau juga menasihati pemimpin gabungan itu supaya tidak memberi respons terhadap kenyataan berkenaan.
“Tidak perlu respons kepada kenyataan seperti itu,” katanya kepada media pada satu program di Seremban hari ini.
Ketika berucap berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya, Pua dilaporkan menggelar BN sebagai “pakatan korup”.
Katanya, beliau berharap PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan Umno dan BN jika menang PRU akan datang.
“Pendirian Tony itu tidak mewakili partinya dan perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke,” kata Zahid.
Loke berkata kepimpinan DAP membuat keputusan untuk bekerjasama dengan BN bagi mewujudkan kestabilan politik.
“Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan kerjasama ini tidak selari dengan pendirian parti dan hala tujunya pada masa ini.
“Saya ingin mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa mengekalkan keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan di bawah kerajaan perpaduan demi kestabilan politik,” katanya. – 24 Jun, 2023.
Komen