Pemimpin Itali, Poland, Czech pantau ketidakstabilan di Russia


Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni berkata persengketaan antara tentera Russia dan tentera upahan Wagner menunjukkan "pencerobohan terhadap Ukraine juga membawa kepada ketidakstabilan dalam Persekutuan Rusia". – Gambar AFP, 24 Jun, 2023.

PERDANA Menteri Itali Giorgia Meloni berkata persengketaan antara tentera Russia dan tentera upahan Wagner menunjukkan “pencerobohan terhadap Ukraine juga membawa kepada ketidakstabilan dalam Persekutuan Rusia”.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Itali itu hari ini pihaknya memantau dengan teliti pemberontakan bersenjata oleh tentera upahan Yevgeny Prigozhin.

Ahli politik sayap kanan itu berkata beliau merancang untuk bertemu dengan menteri berkaitan dan perkhidmatan rahsia Itali hari ini bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi di Russia, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Rakyat Itali di Russia digesa supaya mengambil langkah berjaga-jaga, menurut Kementerian Luar.

Poland dan Republik Czech yang merupakan penyokong kuat Ukraine turut memantau perkembangan di Russia.

Menteri Luar Czech Jan Lipavsky memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan ke Russia.

Amaran perjalanan dikuat kuasa kerana keadaan keselamatan di Rusia boleh merosot, lapor agensi berita CTK memetik kenyataan pemimpin itu.

Sementara itu Presiden Russia Vladimir Putin hari ini menghubungi Presiden Belarus Alexander Lukashenko, Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev dan Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev menerusi panggilan telefon, menurut jurucakap Kremlin Dmitry Peskov, lapor Sputnik.

“Presiden memberi taklimat kepada rakannya mengenai situasi itu,” kata Peskov kepada pemberita. – Bernama, 24 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen