Undi untuk Pakatan adalah undi untuk kleptokrasi, kata Azmin


Ravin Palanisamy

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Mohamed Azmin Ali berkata PH memungkiri semua janjinya apabila bekerjasama dengan pemimpin yang didakwa melakukan rasuah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Jun 2023.

MENGUNDI Pakatan Harapan (PH) sama seperti mengundi kleptokrasi, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata PH memungkiri semua janjinya apabila bekerjasama dengan pemimpin yang didakwa melakukan rasuah.

“Satu undi untuk Pakatan Harapan adalah undi untuk rasuah terbesar di negara ini,” kata bekas menteri besar Selangor hari ini pada konvensyen PN Selangor.

Beliau mengubah suai naratif “Satu undi untuk BN adalah undi untuk Zahid” yang digunakan oleh pemimpin PH semasa pilihan raya umum.

Beliau menggesa pengundi Selangor supaya tidak terpengaruh dengan janji palsu PH dan menyeru mereka untuk mengundi PN untuk masa depan yang lebih baik.

“Kepada orang Melayu, masa depan Selangor dan Malaysia terletak di tangan anda. Untuk memastikan itu, undi PN,” kata ketua penerangan PN itu.

“Bagi orang Cina dan India yang bertungkus-lumus mengundi Pakatan Harapan pada PRU15 akhirnya hari ini mereka tidak mempunyai apa-apa selain harapan kerana kerajaan kini dipenuhi dengan kleptokrat,” katanya.

Azmin berkata pengundi Selangor harus memilih PN untuk kerajaan negeri yang stabil, bersih, adil dan prihatin.

Beliau turut membidas pentadbiran persekutuan dengan menunjukkan beberapa video pemimpin PH termasuk klip nyanyian Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa mereka gagal menangani masalah rakyat.

“Mereka (pemimpin kerajaan perpaduan) sudah tujuh bulan berkuasa tetapi bukannya mengubah nasib rakyat Malaysia yang miskin, pemimpin menyanyi, berbasikal di pejabat.

“Kami mahukan pemimpin, bukan selebriti,” katanya.

Azmin mengesahkan PN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN di Selangor.

“Kami mahu bertanding di semua kerusi kerana kami tidak mahu memberi satu inci pun untuk mereka (PH) di Selangor,” katanya. – 24 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen