DAP buat Umno, BN macam kain buruk, kata Pemuda Perikatan


Ravin Palanisamy

Ketua Pemuda Perikatan Nasional PN Ahmad Fadhli Shaari berkata bagi pandangan DAP, Umno umpama kain buruk yang digunakan untuk mengelap kaki ketika basah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2023.

DAP melayan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan seperti kain buruk, kata Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari.

Merujuk kepada kenyataan bekas wakil rakyat DAP Tony Pua semalam, yang menggelar BN sebagai “pakatan korup”, Fadhli bertanya adakah ahli Umno, BN akan terus menyokong parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu di Selangor.

“Tony Pua kata BN korup dan PH patut tubuh kerajaan tanpa mereka pada pilihan raya umum akan datang.

“Ertinya bagi pandangan DAP, Umno umpama kain buruk yang digunakan untuk mengelap kaki ketika basah…Apakah bahasa saya kasar? Saya tak nak bermusuh dengan ahli Umno.

“Saya nak tanya kawan-kawan Umno tidak malukah nak undi DAP di Selangor?,” kata ahli Parlimen Pasir Mas itu di konvensyen PN di Selangor.

Malam tadi, ketika berucap berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya, Pua dilaporkan menggelar BN sebagai “pakatan korup”.

Katanya, beliau berharap PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan Umno dan BN jika menang PRU akan datang.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Johan Aziz berkata BN tidak akan turut serta dalam program Jelajah Mega Madani Selangor di Shah Alam mala mini.

Katanya, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi tidak akan hadir pada program anjuran PH itu, yang dijangka akan dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH. – 24 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen