Umno protes kenyataan Tony Pua


Setiausaha Agung Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ucapan Tony Pua itu hanya menyerlahkan kedangkalannya sendiri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2023.

UMNO menghantar mesej bantahan kepada pucuk pimpinan DAP selepas bekas setiausaha publisiti Tony Pua menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan ‘korup’.

Setiausaha Agungnya Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu juga menggesa kepimpinan DAP supaya tidak menamakan bekas ahli parlimen Damansara itu sebagai calon pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (PRN) Selangor akan datang.

Katanya, langkah ini perlu diambil sekiranya kerajaan perpaduan serius menjaga keharmonian.

“Beliau sendiri masih bermimpi di siang hari sehingga terlupa bahawa kerajaan hari ini bukan kerajaan PH tetapi Kerajaan gabungan besar BN, PH, GPS, GRS dan Warisan yang didalamnya terdiri daripada 19 parti politik.

“Apa yang diucapnya hanya menyerlahkan kedangkalannya sendiri,” katanya di Facebook hari ini. 

Malam tadi, Tony Pua ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kutipan Dana DAP di Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dilaporkan menggelar BN sebagai pakatan ‘korup’, dengan label yang sama diberikan kepada Bersatu sebagai sebuah lagi parti nasionalis Melayu.

Malah, Pua berharap PH dapat membentuk kerajaan sendiri tanpa penglibatan Umno dan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu hari ini Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menjarakkan parti itu daripada Pua.

Beliau berkata kenyataan Pua mengenai Barisan Nasional pada kutipan dana itu “tidak wajar” dan tidak menggambarkan kedudukan parti itu, kata pemimpin DAP Anthony Loke.

“Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP. Justeru itu, beliau bercakap di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti.

“Ucapan tersebut yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam kerajaan perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan,” katanya.

Tambah Loke lagi kepimpinan DAP sudah memutuskan untuk bekerjasama dengan parti lain bagi mencapai kestabilan politik demi negara.

“Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini.

“Saya ingin mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran.

“Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP,” katanya. – 24 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen