DAP jarakkan diri daripada ucapan Pua gelar BN korup


Tony Pua mencetuskan kontroversi apabila menggelar Barisan Nasional dan Umno korup ketika DAP sedang bekerjasama dengan parti tersebut.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2023.

KENYATAAN bekas ahli Parlimen Tony Pua yang menyerang Umno “tidak seharusnya dikeluarkan” dan tidak selari dengan pendirian DAP, kata Anthony Loke.

Pua, malam tadi pada sebuah majlis menyerang Umno dan Barisan Nasional dalam ucapannya.

Beliau berkata penyokong Pakatan Harapan perlu membuktikan mereka selaku “parti pelbagai kaum adalah bersih dan tidak korup” dan boleh melakukan lebih baik “berbanding gabungan korupsi seperti Barisan Nasional, Umno dan Bersatu.”

Susulan itu, Loke dalam kenyataan dikeluarkan di Facebooknya menegaskan yang Pua tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam DAP dan kenyataan yang dikeluarkan adalah bersifat peribadi.

“Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP. Justeru itu, beliau bercakap di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti.

“Ucapan tersebut yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan,” katanya.

Tambah Loke lagi kepimpinan DAP sudah memutuskan untuk bekerjasama dengan parti lain bagi mencapai kestabilan politik demi negara.

“Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini,” katanya.

“Saya ingin mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran.

“Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP.”  – 24 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen