AMERIKA Syarikat (AS) dan India mahu meningkatkan kerjasama mereka dalam isu antarabangsa, khususnya mengenai perkembangan di rantau Indo-Pasifik, menurut kenyataan bersama pada Khamis.
Ia dinyatakan dalam rundingan Perdana Menteri India Narendra Modi di Washington, lapor Agensi Anadolu.
Kenyataan itu menekankan kepentingan untuk menegakkan ketenteraman antarabangsa berasaskan peraturan dan menekankan bahawa konflik di Ukraine menimbulkan kesan buruk ke atas kemanusiaan dan ekonomi.
Para pemimpin “menggesa supaya usaha lebih besar dilakukan bagi mengurangkan kesan perang, terutama di negara membangun,” menurut kenyataan itu. Mereka juga berjanji untuk memberi bantuan kemanusiaan berterusan kepada rakyat Ukraine.
“Pemimpin kedua-dua negara juga menggesa semua pihak supaya menghormati undang-undang antarabangsa, prinsip Piagam PBB dan integriti wilayah dan kedaulatan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, para pemimpin menekankan pentingnya usaha untuk memperkukuh dan memperbaharui sistem pelbagai hala supaya lebih mencerminkan realiti kontemporari.
“Dalam konteks ini, kedua-dua pihak kekal komited terhadap agenda reformasi PBB yang komprehensif, termasuk melalui pengembangan dalam kategori tetap dan tidak tetap keanggotaan Majlis Keselamatan PBB,” katanya.
Presiden Joe Biden dan Modi komited untuk memperkasa Quad - Dialog Keselamatan kumpulan empat negara—AS, Australia, India dan Jepun, sebagai perkongsian untuk manfaat global.
Mereka juga “mengulangi komitmen berterusan untuk wilayah Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, inklusif, aman dan makmur dengan menghormati integriti wilayah dan kedaulatan serta undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Para pemimpin juga menyuarakan kebimbangan yang mendalam terhadap keadaan yang semakin buruk di Myanmar dan mengutuk pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara.
Menurut kenyataan itu, AS dan India berdiri bersama untuk menentang keganasan global dan dengan tegas mengutuk keganasan dan ekstremisme ganas dalam semua bentuk dan manifestasinya.
“Mereka mengutuk sekeras-kerasnya keganasan rentas sempadan, penggunaan proksi pengganas, dan menggesa Pakistan mengambil tindakan segera bagi memastikan tiada wilayah di bawah kawalannya digunakan untuk melancarkan serangan pengganas,” katanya. – Bernama, 24 Jun, 2023.
Komen