Kes Wang Kelian: Warga Thailand diekstradisi lepas jalani hukuman penjara di Thailand


Empat warga Thailand itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, hari ini. – Gambar Facebook, 23 Jun, 2023.

WARGA Thailand yang disyaki terlibat dalam kes penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 akan diekstradisi ke Malaysia sebaik sahaja mereka selesai menjalani hukuman penjara di negara itu.

Timbalan Ketua Polis Thailand Surachate Hakparn berkata Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi kepada Thailand terhadap 10 individu pada 2017.

Beliau berkata empat daripada 10 individu yang dikehendaki sudah diekstradisi ke Malaysia pada Khamis dan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini.

Mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Bagaimanapun, sebahagian suspek meninggal dunia ketika menjalani hukuman di penjara.

“Seorang atau dua lagi yang akan menamatkan hukuman penjara bakal diekstradisi ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Surachate berkata hasil kerjasama erat antara kedua-dua negara, empat daripada 10 individu sudah diekstradisi ke Malaysia.

“Kerjasama erat itu juga menunjukkan Thailand dan Malaysia komited untuk memerangi pemerdagangan manusia dan jenayah transnasional,” katanya.

Pada Mei 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dari dalam dan luar negara. – Bernama, 23 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen