Bursa Malaysia sokong tindakan SKMM terhadap Meta


SKMM akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Meta, syarikat induk Facebook kerana gagal bekerjasama dalam mengalih keluar kandungan yang tidak diingini daripada platformnya. – Gambar EPA, 23 Jun, 2023.

BURSA Malaysia Bhd menyatakan sokongannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap Meta kerana gagal menurunkan kandungan yang memudaratkan berkaitan, antara lain iklan penipuan di platformnya.

Menurut Bursa Malaysia dalam kenyataan hari ini, pihaknya sudah mengenal pasti lebih 60 laman di platform Facebook Meta menyamar sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Muhamad Umar Swift pada tahun ini dengan peningkatan dalam beberapa bulan ini.

“Bursa menjadi sasaran penipuan yang berniat jahat melalui perbuatan penyamaran sebagai Bursa Malaysia dan pengurusannya di platform media sosial terutamanya CEO Muhamad Umar.

“Seperti yang dimaklumkan melalui kenyataan media dan catatan di media sosial yang lalu, bursa menegaskan laman palsu dan iklan tajaan ini tidak mempunyai kaitan dengan Muhamad Umar atau bursa,” katanya.

Bursa Malaysia menegaskan sebarang bentuk komunikasi selain melalui laman web dan saluran media sosial rasmi dan disahkan sendiri oleh pihak bursa adalah tidak sah atau menyalahi undang-undang dan bertujuan untuk mengelirukan atau menipu orang ramai.

“Walaupun pihak bursa mengambil tindakan segera dengan menarik perhatian terhadap penipuan yang dikesan dan melaporkan kes tersebut, pihak bursa amat bimbang masa yang diambil untuk menurunkan laman sedemikian oleh badan yang berkaitan meningkatkan risiko orang awam untuk mendedahkan maklumat peribadi atau ditipu.

“Insiden yang membimbangkan dan peningkatan penipuan melalui laman palsu ini adalah amat membimbangkan.

“Oleh itu, pihak bursa menggesa Meta dan semua entiti media sosial lain untuk mengambil tindakan dengan lebih pantas untuk mengurangkan atau mencegah aktiviti berniat jahat, mengelirukan dan/atau menyalahi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Umar berkata walaupun meminta laporan yang memaparkan corak penyamaran yang amat mudah dan jelas ditarik balik secara berulang, Bursa Malaysia amat bimbang insiden yang sama akan terus berlaku.

“Kami memerlukan entiti yang berkaitan termasuk Meta untuk mewujudkan algoritma atau semakan untuk mencegah atau mengesan dan menghentikan penipuan secara terang-terangan ini, yang banyak mengenai kecurian identiti dan penipuan.

Muhamad Umar berkata taktik penipuan yang sama membabitkan tokoh dan syarikat terkemuka Malaysia yang lain turut berlaku.

“Meta sebagai sebuah organisasi perlu mengambil langkah selanjutnya untuk mencegah kekeliruan dan penipuan dalam kalangan penggunanya serta kerosakan reputasi dan perkaitan penjenamaan yang negatif dengan individu atau entiti yang terbabit,” katanya.

Menurut SKMM sebanyak 744 laporan mengenai penipuan dalam talian melibatkan Facebook dari Januari hingga 25 Mei 2023 dilaporkan.

Pada Mei 2023, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil turut menyatakan masa tindak balas Meta yang lambat dalam mengenal pasti penipuan. – Bernama, 23 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen