KOREA Selatan dan Vietnam bersetuju menggandakan perdagangan dua hala kepada AS$150 bilion menjelang 2030 dan mengukuhkan kerjasama dalam industri utama mineral dan matlamat sifar karbon, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.
Bagi melestarikan hasrat itu, tiga memorandum persefahaman (MOU) mengenai hubungan industri dua hala yang lebih kukuh ditandatangani selepas sidang kemuncak antara Presiden Yoon Suk Yeol dan Presiden Vietnam Vo Van Thuong yang diadakan di Hanoi awal hari ini, lapor Yonhap.
Kementerian perdagangan Korea Selatan dan Vietnam bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas “PLUS”, yang akan bertanggungjawab melaksanakan pertukaran maklumat tentang keadaan perdagangan dan industri, membantu menangani masalah syarikat dalam menghadapi dan meneroka peluang perniagaan baharu.
Peningkatan perdagangan dua hala dijangka membantu kedua-dua pihak mencapai matlamat AS$150 bilion menjelang 2030, menurut kementerian Korea Selatan.
Vietnam ialah rakan perdagangan ketiga terbesar bagi Korea Selatan pada 2022, dengan dagangan dua hala mencecah AS$87.7 bilion, menurut data kerajaan.
Dalam MOU berasingan, kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan pusat pengendalian rantaian bekalan mineral yang kritikal, susulan Vietnam kaya dengan unsur nadir bumi dan mineral utama lain, menurut kementerian itu.
Pusat itu akan menjalankan projek penyelidikan bersama dan program latihan untuk penerokaan dan pemprosesan mineral utama serta menyokong syarikat mereka dalam mendapatkan rantaian bekalan yang stabil dan peluang pelaburan yang lebih besar.
Kementerian industri Seoul juga menandatangani perjanjian dengan kementerian alam sekitar Vietnam untuk bersama-sama bertindak balas terhadap perubahan iklim melalui projek neutral karbon dan meningkatkan kerjasama mengenai tenaga boleh diperbaharui. – Bernama, 23 Jun, 2023.
Komen