PENGHORMATAN membanjiri Perancis semalam, diberikan kepada anggota polis yang meninggal dunia selepas menawarkan dirinya sebagai pertukaran dengan tebusan yang ditahan penembak militan Islam di sebuah pasar raya.
Presiden Emmanuel Macron menyifatkan anggota polis itu sebagai wira.
Leftenan Kolonel Arnaud Beltrame, 44, ditembak mati dan ditikam selepas bertukar tempat dengan seorang wanita yang digunakan oleh penjahat Radouane Lakdim sebagai perisai dalam serangan di Trebes pada Jumaat.
Beltrame meninggal dunia pada awal Sabtu, menjadi mangsa keempat dalam kejadian serangan tembakan oleh kumpulan Islamic State (IS).
Susulan serangan terburuk militan itu, Macron memuji pegawai polis berkenaan, berkata beliau meninggal dunia sebagai wira dan layak menerima segala penghormatan daripada seluruh negara.
Pejabat presiden mengumumkan penghormatan negara akan diadakan untuk Beltrame.
Lakdim, 25, dimasukkan dalam senarai pemerhatian tetapi pihak berkuasa kemudian memutuskan warga Perancis berketurunan Morocco itu bukan ancaman.
Pemimpin dunia turut memberi penghormatan kepada pegawai polis itu, dengan Perdana Menteri Britain Theresa May berkata pengorbanan dan keberaniannya tidak akan pernah dilupakan.
Cedric, adik Beltrame berkata sebagai polis, beliau tahu segala risiko yang diambilnya.
“Dia sudah pasti tahu dia tidak akan ada peluang. Dia berikan nyawanya untuk orang lain,” katanya.
Acara keagamaan akan diadakan hari ini di Trebes. – AFP, 25 Mac, 2018.
Komen