2 polis maut serangan bom menjelang pilihan raya Mesir


Konvoi membawa Jeneral Mostafa el-Nemr yang melalui kawasan perumahan di Alexandria diserang bom semalam hingga menyebabkan dua anggota polis terbunuh. – Gambar AFP, 25 Mac, 2018.

DUA anggota polis terbunuh dalam serangan bom kereta semalam yang menyasarkan ketua keselamatan Alexandria, Mesir, kata pegawai rasmi, dua hari sebelum pemilihan presiden negara itu bermula.

Bom itu yang meletup berhampiran konvoi membawa Jeneral Mostafa el-Nemr melalui kawasan perumahan di bandar Mediterranean itu membunuh seorang anggota serta-merta, sementara seorang lagi polis meninggal dunia kerana kecederaan teruk, kata sumber keselamatan.

Lima lagi yang cedera dirawat di hospital tentera.

Nemr tidak mengalami kecederaan, kata pejabatnya yang dipetik oleh akhbar milik negara itu, Al-Ahram.

Ketua keselamatan itu diiringi pengawal melawat tempat kejadian tidak lama selepas serangan itu dan ia disiarkan di televisyen.

Pendakwa raya Jeneral Nabil Sadek mengarahkan siasatan dijalankan dengan segera.

Gambar menunjukkan asap hitam di kawasan serangan berhampiran balai polis di jalan Al-Moaskar Al-Romani.

Setakat ini, tiada pihak yang mendakwa bertanggungjawab melakukan letupan itu, di mana pilihan raya akan dijalankan esok, menyaksikan penyandangnya Abdel Fattah al-Sisi kelihatan yakin bertahan untuk penggal kedua. – AFP, 25 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen