Ronnie Liu umum keluar DAP


Adun Sungai Pelek Ronnie Liu telah bersama DAP selama 41 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun 2023.

ADUN Sungai Pelek Ronnie Liu memohon keahliannya bersama DAP ditamatkan selepas 41 tahun bersama parti itu.

Ronnie memohon keahliannya tamat berkuat kuasa esok, menurut surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, yang dimuat naik di Facebook malam tadi.

“Saya adalah ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat yang akan tamat perkhidmatan saya pada tahun 2025.

“Saya melibatkan diri dalam perjuangan DAP semenjak di peringkat sekolah menengah dan telah menjadi ahli DAP pada tahun 1982.

“Namun 41 tahun berlalu dan bersama DAP, banyak perkara telah berlaku dan ada yang di luar jangkaan saya. Dengan itu saya memohon untuk menamatkan keahlian saya bersama DAP berkuat kuasa mulai 24 Jun 2023,” katanya dalam surat kepada Loke.

Ronnie dalam pada itu mengucapkan mengucapkan jutaan terima kasih kepada pucuk pimpinan atas segala peluang dan keyakinan yang diberikan kepadanya sepanjang bersama DAP.

“Semoga DAP terus maju dan sentiasa memegang prinsip sosialisma demokratik dan konsep perjuangan ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’.”

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Ronnie membuat keputusan untuk keluar parti kerana tidak mahu lagi terlibat dalam politik kepartian.

Beliau bagaimanapun akan terus menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Hati saya masih bersama Pakatan Harapan dan Malaysia Madani. Saya akan sentiasa menyokong Anwar.

“Saya kekal sebagai penyokong PH. Tetapi tiada lagi politik kepartian untuk saya,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Oktober lalu media melaporkan Ronnie dijangka mengumumkan akan keluar DAP, tetapi kemudian memutuskan untuk kekal bersama DAP.

Ronnie memegang jawatan exco kerajaan tempatan, kajian dan penyelidikan Selangor sejak PH mentadbir negeri itu pada 2008.

Beliau menjadi Adun Pandamaran dari 2008 hingga 2013. Ronnie kemudian bertanding dan menang kerusi DUN Sungai Pelek pada 2018.

Keputusan beliau untuk keluar DAP dipercayai kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan DAP sejak setahun lalu. – 23 Jun 2023.
 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen