Bunuh pelarian Afghanistan kerana benci, veteran tentera AS dipenjara 55 tahun


SEORANG veteran tentera Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara 55 tahun kerana membunuh seorang pelarian Afghanistan atas dasar kebencian.

Selepas perbicaraan selama tiga hari di Midwestern Indiana AS, Dustin Passarelli disabitkan atas pembunuhan Mustafa Ayoubi, 32, dengan senjata api, lapor Agensi Anadolu.

Ayoubi tidak bersenjata semasa dibunuh dalam kejadian yang berlaku pada Februari 2019, di sebelah barat bandar Indianapolis. Bedah siasat mendapati Ayoubi telah ditembak lapan kali, termasuk tujuh kali di belakang.

Susulan pertengkaran antara kedua-duanya di jalan raya, Passarrelli mengikut Ayoubi keluar dari lebuh raya ke kompleks pangsapuri pendatang sambil memakinya termasuk menghalaunya “balik ke negara anda,” sebelum melepaskan tembakan, menurut saksi.

Dalam pembelaannya, Passarrelli mendakwa mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) berkaitan perkhidmatan tenteranya yang mendorong kepada kejadian tembakan itu.

Passarelli tidak didakwa atas pertuduhan jenayah kebencian, tetapi pembunuhan itu bertepatan dengan perbahasan oleh penggubal undang-undang Indiana mengenai rang undang-undang jenayah kebencian baharu yang diluluskan beberapa minggu kemudian yang membenarkan hukuman yang lebih panjang untuk jenayah yang bermotifkan “berat sebelah”, menurut laporan itu.

“Keluarga Encik Ayoubi dan seluruh masyarakat Islam Hoosier (Indiana) terkesan dengan tindakan itu dan membenci tindakan defendan pada hari kejadian.

“Kami tidak boleh menghapuskan sikap kebencian dengan mudah, tetapi pejabat pendakwa raya akan terus mempertanggungjawabkan individu yang melakukan jenayah kebencian terhadap mana-mana orang dalam komuniti kami,” kata Pendakwa Raya Marion County Ryan Mears kepada media tempatan. – Bernama, 23 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen