Suspek warga Thailand kes kubur besar Wang Kelian didakwa esok


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pada Mei 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur besar di Wang Kelian, Perlis.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2023.

EMPAT warga Thailand yang diekstradisi ke negara ini berkaitan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar di Wang Kelian pada Mei 2015, akan didakwa ke Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis esok.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan Malaysia dan Thailand sudah menjalankan siasatan untuk mengesan dan mengenal pasti pihak bertanggungjawab dalam kes itu.

Katanya, hasil siasatan dijalankan, kerajaan Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi kepada Kerajaan Thailand membabitkan 10 individu warga negara itu pada 6 Januari 2017.

“Sepanjang tempoh lebih enam tahun ini, kerajaan Malaysia dan Thailand berusaha mengesan semua individu itu bagi melaksanakan proses ekstradisi.

“Hasil kerjasama baik antara kedua-dua negara, empat daripada 10 individu berkenaan berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.

“Kes ekstradisi ini berjalan di pelbagai peringkat mahkamah di Thailand dan Mahkamah Rayuan Thailand pada 30 Mac lalu sebelum akhirnya perintah penahanan ke atas keempat-empat individu itu dikeluarkan untuk diserahkan kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin berkata, berdasarkan perintah Mahkamah Rayuan Thailand, penyerahan keempat-empat individu terbabit dilaksanakan, hari ini.

“Kesemua individu terbabit sudah berada di Malaysia dan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis esok bagi tujuan pertuduhan,” katanya.

Saifuddin berkata, kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Thailand dan semua pihak yang terbabit dalam memastikan proses ekstradisi bagi kes Wang Kelian berjalan lancar.

“Kerajaan Malaysia juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan bagi menjejaki individu-individu lain yang terbabit untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

“KDN sentiasa komited dalam menjaga keselamatan sempadan negara dan memandang serius isu-isu jenayah rentas sempadan khususnya jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

“Usaha berterusan melalui operasi bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan sentiasa dititikberatkan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Pada Mei 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dari dalam dan luar negara. – 22 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen