Keluli karbon tinggi bukan dari EU boleh lumpuhkan pasaran UK


KUMPULAN industri memberi amaran bahawa hampir 23 juta tan keluli bukan dari Kesatuan Eropah (EU) boleh membanjiri pasaran United Kingdom (UK), jika kerajaan tidak bertindak segera, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

UK Steel meminta mekanisme pelarasan sempadan karbon (CBAM) diperkenal di negara itu serentak dengan pelaksanaan mekanisme yang sama oleh EU.

Persatuan perdagangan itu berkata kerajaan mesti bertindak pantas untuk mengelak industri keluli UK “daripada musnah” apabila EU melaksanakan kos baharu ke atas karbon import pada 2026.

Jika UK tidak mengambil tindakan yang setara, hampir 23 juta tan keluli yang diimport ke EU pada masa ini boleh memasuki pasaran UK apabila CBAM EU dilaksanakan.

Matlamat utama dasar CBAM adalah untuk mewujudkan pasaran bagi keluli pelepasan rendah dan membantu industri menangani pelepasan karbon.

Keluli import boleh mengurangkan pengeluaran domestik disebabkan kebanyakan negara tidak menggunakan kos karbon yang tinggi untuk industri keluli mereka, menurut UK Steel.

Gareth Stace, ketua pengarah UK Steel, berkata: “Lebih tiga kali ganda penggunaan keluli tahunan kami berisiko beralih dari EU ke pasaran terbuka seperti UK, yang boleh melemahkan industri domestik kami.

“Jika tidak bertindak sekarang, kerajaan UK akan membuka pasaran apabila keluli murah membanjiri pasaran dan menjejaskan peluang eksport kami.

“Kami memerlukan mekanisme pelarasan sempadan untuk karbon UK supaya kedudukan kos karbon yang setara merentas pembekal tempatan dan antarabangsa.” – Bernama, 22 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen