41 penduduk Kg Orang Asli Batu 12 setuju pindah, kata Jakoa


Sebahagian daripada kediaman penduduk Kampung Orang Asli Batu 12, Gombak, yang terlibat dalam projek Projek Laluan Rel Pantai Timur.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Jun, 2023.

SERAMAI 41 penduduk Kampung Orang Asli Batu 12, Gombak, yang tanah mereka terlibat dalam projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sedia berpindah ke penempatan baharu yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas, kata Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Jakoa berkata pihaknya mengadakan sesi taklimat bersama penduduk pada 30 Mei lepas, menyampaikan maklumat berkaitan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) mengenai pemindahan mereka.

“Antara perkara yang dimaklumkan dalam sesi penerangan tersebut adalah penempatan baharu di Kompartmen 1, Hutan Simpan Hulu Gombak antara Muzium Orang Asli dan Unit Logistik Jakoa seluas 10 ekar.

“Sementara itu MRL hendaklah melaksanakan tindakan sewajarnya dan menanggung kos-kos yang terlibat bagi tujuan penempatan baharu. 

“Ini termasuk membina rumah, kuarters, prasarana dan kemudahan asas, membayar ganti rugi pokok yang ditebang dan premium yang dikenakan untuk lokasi penempatan baharu serta menanggung kos perpindahan dari penempatan sedia ada ke lokasi baharu,” kata Jakoa dalam satu kenyataan. 

Sesi penerangan ini juga dihadiri oleh JPKKOA Batu 12, Gombak dan Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Gombak.

Menurut jabatan itu, pemindahan penduduk pula hanya akan dilaksanakan setelah semua syarat dan terma dipenuhi dan diselesaikan sepenuhnya. 

Katanya hasil dari penerangan tersebut, penduduk secara lisan bersetuju dengan pemindahan ke lokasi baharu yang ditetapkan.

“Selain jarak daripada penempatan lama ke lokasi penempatan baharu adalah sejauh 400 meter, kemudahan yang ada berhampiran dengan Kampung Orang Asli (KOA) Batu 12, Gombak seperti Hospital Orang Asli Gombak dan Muzium Orang Asli dikekalkan dan tidak terjejas dengan Projek ECRL,” katanya.– 22 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen