PAKISTAN bersedia menggunakan pelbagai mata wang dalam transaksinya dengan Rusia serta mengurangkan peranan dolar Amerika Syarikat (AS) dalam perdagangan dua hala, kata Menteri Perdagangan Pakistan Syed Naveed Qamar kepada Sputnik.
Minggu lepas, Menteri Tenaga Rusia Nikolai Shulginov berkata Rusia telah mula membekalkan minyak kepada Pakistan dengan bayaran dalam mata wang “pilihan”.
Sementara itu, Menteri Petroleum Pakistan Musadik Malik, berkata negara itu membuat bayaran untuk transaksi pertama berkenaan dalam yuan.
“Pakistan berurusan dalam beberapa mata wang, bergantung kepada pasaran serta perjanjian antara rakan usaha sama dengan pihak lain, seperti perjanjian mengenai minyak dengan Rusia yang berasaskan yuan China.
“Oleh itu mana-mana mata wang stabil yang diiktiraf di dunia akan digunakan dalam pelbagai jenis perdagangan di dunia,” kata Qamar.
Beliau berkata walaupun dari segi sejarah Pakistan berdagang dalam dolar AS, namun hari ini ia juga menggunakan mata wang lain.
Ditanya sama ada Pakistan akan menggunakan yuan dalam perdagangan dengan Rusia pada masa hadapan, beliau berkata: “tidak kerana ia merupakan pengaturan untuk satu transaksi yang telah berlaku… ini adalah pilihan yang kita ada, tetapi tidak akan menyekat kami untuk menggunakan cara lain.”
Selain itu, Pakistan dan Rusia akan dapat mengurangkan pergantungan mereka kepada mata wang asing dengan melancarkan perdagangan tukar barang.
“Disebabkan tidak ada bayaran langsung (dalam) sistem SWIFT, kami perlu melalui proses tertentu, dan urusan dengan Rusia menjadi sukar dan sebab itu perdagangan kami merugikan, oleh itu kami membenarkan kemudahan ini dan tidak perlu menggunakan dolar atau mana-mana mata wang apabila menjalankan perdagangan tukar barang.
“Akhirnya sebarang perjanjian tukar barang akan mengurangkan penggunaan mana-mana mata wang, bukan sahaja dolar bahkan euro, paun dan sebagainya,” katanya.
Qamar berkata langkah ini akan membantu menyelesaikan masalah operasi kewangan, terutama bagi negara yang mengalami kesukaran dalam akses kepada saluran perbankan biasa seperti Rusia, Afghanistan dan Iran. – Bernama, 22 Jun, 2023.
Komen