Ucapan kebencian isu 3R tumpuan Razarudin, kata menteri


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu isu agama, raja dan kaum (3R) antara perkara yang dibimbangi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun 2023.

UCAPAN kebencian melibatkan isu agama, raja dan kaum (3R) akan menjadi keutamaan Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan timbalannya Ayob Khan Mydin Pitchay, kata menteri dalam negeri.

Saifuddin Nasution Ismail berkata isu tersebut antara perkara yang dibimbangi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Itu jelas beri isyarat pada Razarudin dan Ayob Khan, kalau julang awal tugas mereka berdua, kena tangani isu ini dengan kemas sekali,” katanya di Kuala Lumpur.

Saifuddin menyifatkan Razarudin dan Ayob sebagai gandingan mantap dalam meneruskan kecemerlangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku institusi penguatkuasaan terulung Malaysia.

“Saya mempunyai harapan sangat jelas dan keyakinan sangat utuh agar PDRM di bawah kepimpinan Razarudin dapat meneruskan kelangsungan dan kecemerlangan yang ditinggalkan Acryl Sani Abdullah Sani.

“Dengan gabungan baru Ayob Khan sebagai timbalan ketua polis negara saya percaya ini gandingan sangat mantap dan baik dengan pengalaman Razarudin.

“Kualiti kepimpinan ditunjukkan Ayob Khan selama ini akan membolehkan pihak polis khususnya meneruskan reputasi sebagai penguat kuasa terbesar dalam negara,” kata Saifuddin.

Saifuddin bercakap dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas Razarudin dan Ayob Khan.

Saifuddin juga menyatakan, kira-kira 40,000 anggota dan pegawai polis bakal ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan kelancaran pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri.

Katanya, ia melibatkan anggota dan pegawai di negeri terlibat serta bantuan dari negeri-negeri lain yang tidak terlibat.

“Penempatan anggota tersebut adalah untuk memastikan keadaan keselamatan dalam negara terjaga terutamanya di negeri yang terlibat PRN.

“Pihak polis akan tampil dalam keadaan siap siaga bagi memastikan bahawa semua undang-undang itu dapat berjalan dengan baik serta aspek pelanggaran.

“Ini penting sebab rakyat akan diberi peluang untuk memilih tanpa perlu rasa takut untuk keluar rumah. Ini adalah fokus utama pasukan polis,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor secara rasmi pada 23 Jun bagi memberi laluan kepada PRN.

DUN Kelantan pula dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada PRN. – 22 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen