Pos PGA akan dinaik taraf untuk kekang penyeludupan manusia di sempadan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata semua 151 Pasukan Gerakan Am di sempadan negara akan dinaik taraf supaya lebih selesa dan kondusif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun 2023.

KERAJAAN akan menaik taraf semua 151 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan negara sebagai satu usaha untuk mengekang penyeludupan manusia yang semakin kerap berlaku, kata menteri dalam negeri.

Saifuddin Nasution Ismail berkata semua pos PGA itu akan dinaik taraf supaya lebih selesa dan kondusif.

“Pos PGA akan kawal kemasukan penyeludupan dan segala macam kemasukan haram lain. Jadi RM45 juta adalah anggaran diperlukan, dan kita optimis akan adakan bagi memulihkan logistik pos yang dapat diuruskan dalam masa terdekat ini,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Saifuddin, peranan pos PGA secara jelas adalah untuk mengekang isu penyeludupan manusia kerana terletak di garis sempadan.

“Jadi jenayah rentas sempadan, laluan pencerobohan pendatang, penyeludupan senjata, dadah, barang keperluan macam minyak masak, kontraban… itu semua dapat disekat melalui kawalan pos hadapan ini.

“Jadi fizikal pos itu, setakat tinjauan saya, keadaannya munasabah. Tetapi sebahagian besar dalam keadaan daif.

“Dengan peruntukan dana itu, kita akan baiki atau adakan pos baru yg lebih baik, untuk jadikan keadaan lebih selesa, kondusif untuk anggota bertugas dan diami,” katanya. – 22 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen