‘Inspektor Sheila’ ditahan kerja, 8 kertas siasatan dibuka


Kalidevi Mogan Kumarappa

Dua kertas siasatan dan enam kertas siasatan tatatertib dibuka terhadap seorang pegawai polis wanita dikenali sebagai Inspektor Sheila susulan beberapa videonya yang tular di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2023.

PEGAWAI polis wanita yang dikenali sebagai “Inspektor Sheila” ditahan kerja sejak minggu lalu bagi melengkapkan siasatan berhubung beberapa siri video yang tular di media sosial.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Rakaman percakapan juga sudah diambil pada 18 Jun lalu dan kedua-kedua kertas siasatan dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Pada masa sama, enam kertas siasatan tatatertib dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” katanya selepas majlis serah terima tugas ketua polis negara dan timbalan ketua polis negara di Kuala Lumpur.

Saifuddin berkata polis mempunyai kaedah dan mekanisme yang jelas untuk menghadapi perilaku ketidaktenteraman persepsi.

“Jadi kita biarkan pasukan polis mengguna pakai undang-undang,” katanya.

Ketika ditanya sama ada pegawai berkenaan masih dalam tugas, Saifuddin berkata pegawai itu sudah ditahan kerja dan akan dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan ke atasnya.

Dalam laporan media sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan kejadian pegawai polis wanita yang mencetuskan kekecohan di parkir pusat beli-belah di Brickfields.

Sebelum itu pegawai berkenaan menerima kecaman netizen selepas dua klip video masing-masing berdurasi 24 dan 10 saat dimuat naik di media sosial Khamis lalu memaparkan dirinya mencemuh seorang lagi anggota berpangkat lans koperal dalam kejadian di Gombak, Selangor.

Susulan itu, polis Selangor memanggil pegawai wanita terbabit untuk dirakam keterangan berhubung kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. – 22 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen