Semakin ramai kanak-kanak alami obesiti, kata KKM


Ravin Palanisamy

Jika mengikut negeri, Perlis mencatat peratusan obesiti paling tinggi membabitkan kanak-kanak bawah 18 tahun, Dewan Negara diberitahu. – Gambar AFP, 22 Jun 2023.

MASALAH obesiti dalam kalangan kanak-kanak bawah 18 tahun semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

“Berdasarkan hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan yang telah dijalankan, prevalens obesiti di mana BMI (Indeks Jisim Tubuh) secara keseluruhan dalam kalangan kanak-kanak di sekolah berumur 10 hingga 18 tahun meningkat daripada 12.3% pada tahun 2012 kepada 14.8% pada 2017 dan 14.3% pada 2023,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Lukanisman menjawab Senator Dr Lingeshwaran Arunasalam yang meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan berapakah indeks obesiti kanak-kanak bawah 18 tahun sepanjang 10 tahun lalu dan apakah tindakan kerajaan untuk menangani isu berkenaan.

Jika mengikut negeri, Perlis mencatat peratusan obesiti paling tinggi membabitkan kanak-kanak bawah 18 tahun, tambah timbalan menteri itu.

“Perlis mencatat peratusan obesiti yang paling tinggi iaitu 15.2% pada tahun 2012 dan peningkatan sebanyak 18% pada 2022,” katanya, menambah data bagi negeri-negeri lain akan dinyatakan dalam jawapan bertulis.

Katanya lagi, KKM telah melaksanakan beberapa pendekatan bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak seperti memasukkan komponen makanan dalam kokurikulum sekolah, saringan status makanan dan merujuk murid yang mempunyai berat badan berlebihan kepada pegawai sains pemakanan untuk sesi rundingan.

Selain itu, menu kantin di sekolah juga dipantau dan bimbingan secara berterusan diberikan kepada pengusaha kantin serta pihak sekolah bagi memastikan larangan penjualan makanan tidak berkhasiat dipatuhi. – 22 Jun 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen