Kedah tidak perbaharui lesen pusat urut, refleksologi jika langgar syarat


Kedah akan memantau secara berkala pusat urut dan refleksologi bagi memastikan tiada aktiviti tidak bermoral di premis berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2023.

KERAJAAN negeri Kedah tidak akan memperbaharui lesen pusat urut dan refleksologi di negeri ini jika didapati wujud aktiviti tidak bermoral di premis berkenaan, demikian amaran tegas Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, mesyuarat exco kerajaan negeri semalam membuat keputusan berhubung perkara itu dan pemantauan secara berkala akan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), polis dan imigresen ke atas premis berkenaan.

Selain itu, katanya sebarang aktiviti hiburan di negeri ini termasuk di dalam institusi pengajian tinggi (IPT) masih tertakluk mengikut Enakmen Kawalan Hiburan dan perlu mendapat permit daripada PBT.

“Jadi yang ‘tunjuk-tunjuk langit’ semua itu, nak buat macam itu, kena minta permit daripada Pegawai Daerah, kalau kita agak program itu tidak sesuai, ia tidak akan diluluskan walaupun dalam universiti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat minggua exco di Alor Setar.

Sementara itu, Sanusi, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, berkata beliau meminta Penasihat Undang-Undang Negeri supaya menggariskan perkara yang boleh dilakukan oleh anggota exco negeri selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.

“Sebagai kerajaan negeri sementara (selepas DUN dibubarkan), semua exco kena serahkan kenderaan rasmi masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, Sanusi mengumumkan akan menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah,  Ahad ini, bagi mendapatkan perkenan membubarkan DUN negeri bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau akan mempersembahkan cadangan pembubaran DUN negeri pada 28 Jun ini sempena hari wukuf di Arafah. – Bernama, 22 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen